PUTRAJAYA: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) membongkar jenayah kejam pekebun haram di sekitar Raub, Pahang yang menjerat beruang matahari.
Jenayah tersebut terbongkar hasil operasi baru-baru ini.
Menerusi hantaran di akaun sosial rasmi agensi tersebut yang tular dalam kalangan netizen semalam, turut dipaparkan gambar haiwan itu cedera akibat dijerat.
“Beruang matahari yang dirawat ini dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai, Perak untuk pemantauan dan rawatan lanjut,” jelas jabatan itu.
Perhilitan menambah, dua operasi menyelamat mamalia terkena jerat itu melibatkan sekitar dusun di daerah Raub dan kawasan sempadan rizab hidupan liar Krau, Pahang.
“Perhilitan menyeru semua pihak agar bersama-sama mencegah jenayah jerat hidupan liar dengan menyalurkan maklumat terus ke talian hotline Perhilitan 1-800-88-5151,” katanya.
Tegas jabatan itu, perbuatan memiliki, memasang, meletak atau mengguna mana-mana jerat bagi maksud buru hidupan liar adalah salah di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.
Perangkap berkenaan boleh menyebabkan kecacatan kekal dan lebih parah lagi, hidupan liar tersebut boleh mati jika tidak sempat diselamatkan dan diberikan rawatan awal.
Perhilitan turut mengambil inisiatif dengan mengisytiharkan 2018 sebagai Tahun Perangi Jerat dalam usaha memberi kesedaran dan mendidik rakyat mengenai ancaman tersebut. – UTUSAN ONLINE










