Perahu kecil Jeffry pengangkutan 'terpenting' di Chenulang - Utusan Malaysia

Perahu kecil Jeffry pengangkutan ‘terpenting’ di Chenulang

PERAHU kecil milik Jeffry Mat Yunus menjadi pengangkutan terpenting penduduk di tiga buah kampung di Chenulang, Kuala Krai setiap kali Jambatan Sungai Chenulang ditenggelami air.-UTUSAN/ BAHRUDDIN HATTA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KRAI: Sebuah perahu kecil milik lelaki bernama Jeffry Mat Yunus menjadi pengangkutan terpenting penduduk di tiga buah kampung di mukim Chenulang, di sini setiap kali jambatan untuk menyeberangi Sungai Chenulang ditenggelami air. 

Apabila jambatan tersebut dinaiki air, tiga kampung terbabit iaitu Kampung Pasir Jering, Kampung Dusun Ban dan Kampung Dusun Bunut, terputus jalan hubungan dengan dunia luar.

Dalam kalangan penduduk di tiga kampung tersebut, hanya Jeffry, 34, dari Kampung Pasir Jering satu-satunya individu yang memiliki perahu dan semua penduduk menggunakan perkhidmatannya setiap kali jambatan tenggelam.

Menurut Jeffry, perahu miliknya itu disumbangkan oleh Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman tujuh tahun yang lalu dan dia bangga dapat memanfaatkannya untuk kegunaan penduduk kampung.

“Sudah tiga hari jambatan rosak dan dinaiki air, jadi saya gunakan perahu kecil ni untuk membawa orang kampung menyeberangi sungai untuk menyelesaikan urusan masing-masing di luar.

“Meskipun arus sungai sedikit laju, perahu masih boleh mengharunginya dengan menggunakan enjin kecil yang ada,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Tambahnya, dia bekerja sebagai seorang pemandu jentolak di Jerantut, Pahang dan akan balik setiap kali musim tengkujuh semata-mata mahu memberi perhidmatan membawa perahu kepada penduduk.

Jeffry berkata, setakat ini hanya dia yang benar-benar mahir mengendalikan perahu dan enjin untuk melalui kawasan arus sungai yang laju.

“Berkat pengalaman bekerja sebagai pemandu bot laju selama beberapa tahun di Kuala Krai memberi keyakinan pada saya membawa perahu ketika musim banjir ini,” katanya.

Seorang penduduk Kampung Dusun Ban, Baharuddin Abdullah, 50, berkata, penduduk kampung memberi sepenuh kepercayaan pada Jeffry untuk membawa mereka menyeberangi sungai setiap kali musim bah melanda.

“Jika Jeffry tiada di kampung ketika berlaku banjir sebegini, memang sangat sukar bagi penduduk sekitar untuk keluar ke bandar.

“Jeffry pula tidak menetapkan berapa kadar upah setiap kali membawa penduduk, dia hanya menerima berapa sahaja jumlah yang kita hulurkan seikhlas hati,” katanya. -UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN