KUALA LUMPUR: Cadangan menjadikan tapak Highland Tower sebagai tapak bersejarah diterima baik oleh penduduk setempat.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin memautkan satu gambar menggambarkan reaksi penduduk kawasan itu mengenai cadangan tersebut.
“Penduduk Taman Sri Ukay atau Hill View menyambut baik cadangan melestarikan tapak Highland Tower,” katanya dalam satu kenyataan di laman Twitter peribadinya.
Kondominium itu dibina pada tahun 1974 dan mula diduduki penghuninya tujuh tahun kemudian serta menjadi pilihan orang ramai kerana lokasinya yang terletak di lereng bukit dan dikelilingi kehijauan hutan.
Terdahulu, Zuraida menerima kecaman di media sosial selepas cadangannya itu disalah erti oleh pelbagai pihak.
“Ingin saya jelaskan bahawa kementerian bukan berhasrat untuk membina tugu peringatan sebaliknya mengindahkan semula selain menjadikannya sebagai tapak bersejarah.
“Hasrat itu adalah bagi mengingati peristiwa tragis yang mengorbankan 48 penghuni kondominium berkenaan pada 11 Disember 1993 yang juga melakar sejarah hitam buat negara,”ujarnya. – UTUSAN ONLINE










