KUALA TERENGGANU: Pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini diseru merebut tawaran Skim 1Pelajar 1Perniagaan (S1P1P) yang dirintis Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, sejak inisiatif itu diperkenalkan pada 2017 hingga November lalu, sebanyak RM3.92 juta dana disalurkan untuk manfaat golongan sasar daripada keseluruhan geran bernilai RM10 juta yang disediakan.
Katanya, menerusi program S1P1P itu, pelajar sepenuh masa di IPT tempatan yang ingin mendaftarkan perniagaan dengan SSM di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 akan dikecualikan daripada sebarang bayaran.
“Pendaftaran merupakan elemen penting dalam setiap perniagaan bagi menjadikannya entiti yang sah, di samping meningkatkan keyakinan pengguna untuk berurusan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyerahkan sijil SSM kepada pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), Wan Nur Fatin Wan Yusof di pusat membeli-belah Kuala Terengganu City Centre (KTCC) Mall di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Rosol menggalakkan usahawan pelajar untuk turut mendaftarkan perniagaan mereka dengan SSM BizTrust yang ditawarkan secara percuma sehingga 31 Disember tahun depan. – UTUSAN ONLINE