KOTA BHARU: Ketika isu jawatan Timbalan Perdana Menteri dibangkitkan pelbagai pihak baru-baru ini, Pas memberi bayangan tidak berminat membuat tuntutan biarpun layak mengisi jawatan tersebut.
Malah khabar angin terbaharu kononnya bakal Timbalan Perdana Menteri mungkin dilantik dalam kalangan pemimpin Pas, bukannya UMNO dianggap parti itu sebagai ‘cakap-cakap’ yang tidak berasas.
Tegas Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah, Pas sejak awal lagi tidak pernah melobi jawatan Perdana Menteri dan menyerahkan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membuat keputusan.
“Tak ada usaha melobi jawatan Timbalan Perdana Menteri, kita tak pernah lobi. Dulu pun masa ditawarkan menyertai kerajaan kita tidak melobi jawatan, walaupun kita ada cadangan masa itu.
“Kita ikut apa diputuskan Perdana Menteri, ikut dia nak pilih siapa jadi Timbalan Perdana Menteri atau lantik menteri mana.. Ini kita panggil hak istimewa Perdana Menteri,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini semalam.
Terdahulu Mohd. Amar yang juga Timbalan Menteri Besar menghadiri mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Kelantan yang diadakan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia baru-baru ini menegaskan akan membangkitkan perkara berkaitan jawatan Timbalan Perdana Menteri untuk diisi pemimpin daripada parti itu.
Bagaimanapun selepas Majlis Tertinggi PN bermesyuarat semalam, timbul spekulasi baharu kononnya bakal Timbalan Perdana Menteri bukan daripada UMNO, sebaliknya dalam kalangan pemimpin Pas, iaitu Presidennya sendiri Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Amar berkata, Pas menghormati keputusan UMNO mahu menggunakan lambang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) susulan keputusan parti itu tidak menyertai PN.
“Bagi saya tidak ada masalah, yang penting sokongan itu dan UMNO sudah kata tidak akan ada pertembungan antara BN dan PN dalam PRU-15.. Itu sudah baik, cuma pada pandangan peribadi kita, kalau UMNO boleh bersama dalam PN lagi baik,” katanya.
Mengenai rundingan pengagihan kerusi, Mohd. Amar berkata, setakat ini perbincangan dibuat di peringkat Pusat hanya melibatkan kerusi Parlimen manakala rundingan mengenai pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pula belum bermula. – UTUSAN










