Orang Asli Bateq terperangkap lagi - Utusan Malaysia

Orang Asli Bateq terperangkap lagi

PENDUDUK Orang Asli suku kaum Bateq di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir, Gua Musang, Kelantan terperangkap apabila jambatan menghubungkan kampung mereka tenggelam selepas air Sungai Lebir naik mendadak. -UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Hujan berterusan sejak dua hari lalu menyebabkan sebuah jambatan merentasi Sungai Lebir di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir di sini tenggelam dan ditutup kepada semua kenderaan.

Hampir 500 penduduk Orang Asli Bateq membabitkan 90 keluarga di perkampungan itu terputus hubungan selepas air sungai naik melimpahi jambatan sejak pukul 11 pagi ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Sik Choon Foo berkata, sejak pukul 4 petang ini air Sungai Lebir menunjukkan trend menaik dan masih melimpahi jambatan utama kampung itu.

Katanya, ketika ini penduduk tidak dapat keluar ke bandar Gua Musang atau Kuala Krai dan hanya boleh menyeberangi sungai menggunakan perahu. 

“Bagaimanapun, kampung Orang Asli Bateq itu masih selamat daripada banjir kerana tiada kediaman yang dinaiki air.

“Orang Asli itu terperangkap kali ketiga dalam tempoh sebulan ini kerana limpahan air Sungai Lebir akibat hujan berterusan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Tambah Sik, dia memuji sikap penduduk Orang Asli di kampung itu apabila membina bangsal di atas bukit sebagai tempat pemindahan sementara ketika banjir.

Katanya, dia berharap agar Orang Asli berwaspada dan segera menghubungi pihak berkuasa sekiranya berlaku kecemasan di kampung itu.

“Kawasan sekolah dan sebahagian rumah penduduk kaum itu berada di kawasan rendah serta mudah dinaiki banjir.

“Apabila air semakin tinggi mereka akan menyelamatkan diri ke atas bukit tinggi di kampung mereka,” katanya.

Selain itu, Sik juga meminta penduduk di kawasan rendah khususnya Kampung Limau Kasturi supaya berwaspada dengan kenaikan paras air Sungai Galas. 

Semalam, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meramalkan banjir bakal berlaku mulai jam 10 malam tadi di jajahan Gua Musang dan Kuala Krai berikutan kenaikan paras air di Sungai Galas, Sungai Nal dan Sungai Pahi disebabkan hujan lebat.

Di jajahan Gua Musang, kawasan yang terbabit adalah Kampung Limau Kasturi dan kawasan sekitarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.