PUTRAJAYA: Kerajaan komited menjayakan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk dicapai menjelang 2030.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kesungguhan itu turut dibuktikan menerusi penubuhan Majlis SDG Kebangsaan pada 2016.
Katanya, majlis itu ditubuh setahun setelah Malaysia menyatakan komitmen pelaksanaan Agenda 2030 yang ditetapkan Sidang Kemuncak Pembangunan Mampan PBB di New York pada 2015.
“Majlis ini dipengerusikan Perdana Menteri dengan Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri ditugaskan untuk membangunkan hala tuju SDG,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap secara maya melancarkan Laporan Indikator SDG Malaysia 2019 dan sesi webinar anjuran Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) di sini hari ini.
Turut serta secara maya ialah Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin dan Profesor Ikhtisas Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Datuk Dr. Mohd. Ghazali Abas.
Mustapa berkata, kesemua 17 matlamat SDG meliputi lima dimensi diserapkan dalam setiap dasar pembangunan negara termasuk Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
“Ia dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (2015-2020) dan akan diteruskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) dengan pendekatan baharu,” katanya.
Jelasnya, langkah itu bagi menangani isu kemiskinan dengan program bersasar berdasarkan keperluan setempat merentasi kaum yang berbeza mengikut demografi dan keadaan semasa. – UTUSAN ONLINE