KANGAR: Ramai tertanya-tanya peranan Majlis Syura Pas terutama ketika berdepan isu-isu besar melibatkan dasar atau sesuatu keputusan membabitkan rakan gabungan.
Malah ada ‘cakap-cakap nakal’ kononnya Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan ‘lebih berkuasa’ dalam menentukan sesuatu keputusan melibatkan parti.
Berperanan sebagai Setiausaha Agung, memang lazimnya akan menjadi jurucakap parti, namun adakah pendirian parti itu tidak perlu melalui Majlis Syura Pas yang sedia maklum menjadi hierarki tertinggi khususnya dalam menentu sesuatu keputusan besar.
Ia dapat dilihat apabila kenyataan yang dikeluarkan Pas Pusat melalui Setiausaha Agungnya baru-baru ini bahawa parti itu tidak akan menyertai sebarang usaha penubuhan kerajaan baharu di Perak iaitu hanya selang beberapa jam selepas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal mendapat sokongan majoriti daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak.
Bercakap kepada Utusan Malaysia bagi mengulas kekeliruan tersebut, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, Majlis Syura sememangnya berperanan dalam menentukan sesuatu keputusan besar khususnya melibatkan dasar dan hubungan antara parti.
Malah katanya, Majlis Syura juga boleh membatalkan sesuatu keputusan meskipun sudah diputuskan jawatan kuasa Pas Pusat atau muktamar jika didapati melanggar syariat.
“Selalunya keputusan diputuskan dalam jawatan kuasa Pas Pusat akan dirujuk kepada Majlis Syura untuk dipertimbangkan dan tidak boleh dilaksana jika tidak mendapat restu syura
“Dalam perkara-perkara besar seperti kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) dan kerjasama dengan parti-parti politik lain sebelum ini telah diputuskan oleh Majlis Syura Pas,” katanya.
Tambah Hashim, sebagai contoh, pendirian bahawa Pas tidak akan menyertai sebarang usaha penubuhan kerajaan baharu di Perak sebelum ini sepatutnya dibawa ke Majlis Syura terlebih dahulu sebelum diputuskan.
Bagaimanapun, katanya, secara kebetulan, pada masa itu, tempoh lima tahun jawatan kuasa Majlis Syura itu telah berakhir dan akan dibentuk semula dengan mesyuarat pertama dijangka pada Isnin depan di Kuala Lumpur.
“Itu antara contoh sesuatu keputusan melibatkan soal seperti itu (kerjasama atau sebaliknya) perlu dibawa kepada Majlis Syura terlebih dahulu sebelum diputuskan,” katanya.
Katanya lagi, dalam soal tertentu, keputusan juga boleh diputuskan hanya melalui peringkat jawatan kuasa Pas termasuk dalam soal pengagihan kerusi dalam pilihan raya dan perkembangan politik lain.
Sementara itu, Hashim memberitahu, Majlis Syura akan mengadakan mesyuarat pertama dengan barisan baharu yang akan dipilih melihatkan empat daripada ahli jawatan kuasa Pas Pusat, empat dari Dewan Ulama, dua dari Muslimat serta dua dari Pemuda. – UTUSAN










