Majikan gagal arah pekerja asing disaring dikenakan tindakan - Utusan Malaysia

Majikan gagal arah pekerja asing disaring dikenakan tindakan

Majikan yang gagal mengarahkan pekerja asing mereka menjalani ujian saringan Covid-19 bermula 1 Januari boleh didakwa di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan akan mewajibkan supaya pekerja asing menjalani ujian saringan Covid-19 dengan kos perlu ditanggung sendiri oleh majikan masing-masing.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, arahan itu bakal bermula 1 Januari di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Pihak majikan yang didapati gagal mematuhi arahan ini akan dikenakan tindakan undang-undang dan penalti jika sabit kesalahan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sehingga kini ujarnya, sebanyak 749 buah klinik terlibat dengan program itu dan setiap premis tersebut mampu menjalankan saringan melibatkan antara 200 hingga 400 peserta pada setiap hari.

Kementerian Sumber Manusia jelas beliau, memaklumkan setakat 28 Disember, seramai 70,159 pekerja warga asing sudah melakukan ujian yang melibatkan sejumlah 2,405 majikan.

“Mulai 1 Disember lalu, semua pekerja asing khasnya di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sabah, Kuala Lumpur dan Labuan sudah diarahkan menjalani saringan.” tegasnya.

Namun untuk negeri-negeri lain, Ismail Sabri menggalakkan majikan untuk berbuat demikian sebagai langkah pencegahan awal sebelum ada pekerja mereka dikesan positif Covid-19.

Dalam pada itu, 297 individu ditahan pasukan Task Force Operasi Pematuhan diketuai polis atas pelbagai kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) di seluruh negara semalam.

Seramai 294 dikompaun dan tiga direman dengan kes tertinggi aktiviti pusat hiburan (103), tidak memakai pelitup muka (95), tiada peralatan rekod butiran (75), penjarakkan fizikal (21) dan lain-lain (tiga).

Katanya, sejumlah 2,236 pasukan meliputi 9,706 anggota memantau 3,177 pasar raya, 4,373 restoran, 1,165 kilang, 1,252 pasar awam, 2,999 tempat ibadah dan 1,217 tempat riadah.

Dalam pada itu, 22 pendatang asing tanpa izin dan empat tekong ditahan menerusi Op Benteng selain empat kenderaan darat dirampas semalam di seluruh negara,” jelas beliau.

Menyentuh Ops Sanitasi Awam, Ismail Sabri berkata, sebanyak 29 operasi dilaksanakan di 10 negeri dan satu Wilayah Persekutuan melibatkan 281 anggota dengan 21 jentera bomba.

Sementara itu katanya, 597 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan kesemua telah dikuarantin wajib di stesen ditetapkan yang melibatkan 76 hotel dan 17 institusi latihan.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya