Mainan politik Dr. Mahathir raih sokongan Ku Li - Utusan Malaysia

Mainan politik Dr. Mahathir raih sokongan Ku Li

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU : Tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad menarik sokongan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li merupakan mainan sandiwara politik bekas Perdana Menteri itu.

Tokoh veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, malah Dr. Mahathir kini sudah hilang kekuatan dan kali ini cuba menarik sokongan terbaharu dengan membabitkan Ku Li selaku pemimpin lama UMNO.

“Beliau sudah habis pakai, dahulu dia dah berbaik dengan Lim Kit Siang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan berbaik dengan semua orang, sekarang cuba dengan Ku Li pula.

“Selepas Ku Li, mungkin dia hendak berbaik dengan Tun Musa Hitam agaknya. Jadi pada saya, tidak fikir sangat sebab ini hanya mainan wayang gambar atau mainan politik beliau,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Bantuan Pemuda UMNO Johor Baharu kepada golongan orang muda di Pejabat UMNO Bahagian Johor Bahru di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai pendirian Dr Mahathir dan Ku Li yang menyatakan kesediaan bekerjasama memimpin kerajaan jika diberi pulang untuk memimpin negara.

Namun Shahrir selaku Ketua Bahagian UMNO Johor menghormati pendirian Ku Li berhubung perkara tersebut.

“Namun dalam soal ini, Tengku Razaleigh ada pendirian sendiri. Walaupun masih UMNO dan dalam parti, beliau ada pendiriannya. Kita hormat beliau pendirian,” katanya.

Beliau kemudiannmenegaskan kerjasama itu tidak akan memberi kesan kepada hala tuju politik negara kerana tidak mempunyai asas dan kekuatan yang boleh mengubah keadaan.

“Kecuali ketika itu bawa sekali orang lain atau katakan beliau (Dr. Mahathir) bawa Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, ini baru ada kekuatan,” katanya.

Dalam pada itu, Shahrir menjelaskan keadaan itu berlaku disebabkan oleh ketidakstabilan kerajaan pada hari ini di samping hanya mempunyai majoriti tipis.

Katanya, Malaysia kini sudah hilang taring akibat ketidakstabilan kerajaan malah dasar sering berubah setiap masa menyebabkan pelabur kini memilih negara jiran seperti Indonesia, Singapura dan Vietnam sebagai destinasi pelaburan.

“Cuma tiada cara lain kita memerlukan mandat kerajaan yang kuat dengan menerusi cara pilihan raya.

“Kita faham kesan jika pilihan raya diadakan pada masa kini melainkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ada kaedah baharu dan rakyat sendiri berdisiplin untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.