JOHOR BAHRU: ‘Lompat parti bukan pengkhianat’ merupakan satu amalan norma politik baharu yang menjadi punca keruntuhan sesebuah kerajaan dan sekali gus menyebabkan negara berada dalam keadaan tidak stabil.
Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, jika persepsi itu terus dilaung-laungkan sehingga masa akan datang, ia bakal menjadi kebiasaan dan sekali gus menjadikan negara dalam keadaan huru-hara.
Katanya, kenyataan itu mengambarkan prinsip dan pendirian terhadap parti seolah-olah dipermainkan malah kedudukan peribadi mengatasi segalanya.
“Ini norma politik baharu yang boleh meruntuhkan negara. Apabila bertanding baru ingat parti, apabila sudah menang dan dapat jawatan, parti dilupakan.
“Keadaan itu berlaku kepada Barisan Nasional (BN) dan juga Kerajaan Pakatan Harapan (PH) apabila pemimpin tertentu melompat parti sehingga menyebabkan kerajaan berada dalam keadaan tidak stabil,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin semalam yang mengatakan gelaran pengkhianat atau duri dalam daging kepada mana-mana ahli Parlimen selepas pembentukan Perikatan Nasional (PN) tidak sepatutnya timbul kerana matlamat asas penubuhan kerajaan baharu untuk menumbangkan PH.
Nur Jazlan menegaskan, tanggapan itu seolah-olah kepentingan peribadi melebihi segalanya termasuk parti sehingga sanggup meninggalkan prinsip dan perjuangan atas alasan kononnya menyelamatkan negara.
Katanya, sudah menjadi asam garam orang berpolitik parti perlu dipertahankan berbanding soal peribadi atau sebaliknya.
“Namun dalam soal ini, saya menghormati Hamzah kerana beliau meninggalkan parti UMNO berbanding beberapa pemimpin UMNO sekarang yang bermain dua kolam yang mendakwa orang parti, tetapi kini sering merendahkan parti.
“Ada pemimpin UMNO hari ini apabila sudah dapat jawatan dan kedudukan, lupa soal parti malah memberi kenyataan lebih daripada pemimpin tertinggi parti,” katanya.
Sehubungan itu, Nur Jazlan berkata, UMNO perlu melihat semula gabungan politik yang lebih menguntungkan berbanding kerjasama sedia ada dan kini dilihat lebih merugikan setelah situasi berlaku di Perak.
“Situasi di Perak jelas menunjukkan akar umbi menolak kerjasama sedia ada apabila mengemukakan usul percaya kepada Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang kemudian tersingkir sebagai Menteri Besar,” katanya. – UTUSAN










