Lagi 196 individu ditahan ingkar PKP - Utusan Malaysia

Lagi 196 individu ditahan ingkar PKP

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 196 individu ditahan pasukan Task Force Operasi Pematuhan di seluruh negara atas pelbagai kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesemuanya telah dikompaun dan kes tertinggi ialah gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan.

“Ia melibatkan 88 individu diikuti kesalahan tidak memakai pelitup muka (86), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (8) dan 14 kes lain,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Beliau menambah, 2,960 pasukan melibatkan 13,207 anggota membuat pemantauan di 3,468 pasar raya, 4,770 restoran, 1,529 penjaja, 1,298 kilang, 1,298 bank dan 501 pejabat kerajaan.

Turut dipantau oleh pasukan tersebut semalam ujar beliau, ialah sebanyak 967 terminal pengangkutan darat, 226 terminal pengangkutan air dan 80 terminal pengangkutan udara.

Sejumlah 59 pendatang asing tanpa izin (PATI) juga ditahan melalui Operasi Benteng oleh pelbagai agensi bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan sekat penularan wabak Covid-19.

“Turut dirampas ialah tiga buah kenderaan darat manakala sebanyak 118 sekatan jalan raya dilaksanakan semalam bagi memastikan sempadan negara dikawal ketat,” jelas Ismail Sabri.

Dalam pada itu, 38 operasi sanitasi awam di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan meliputi 13 zon merah, satu zon jingga, 14 zon kuning dan satu zon hijau.

Menyentuh kuarantin wajib kata beliau, sehingga kini seramai 9,004 individu pulang ke tanah air sedang menjalani proses itu manakala 532 individu dihantar ke hospital untuk rawatan.

Sementara pemeriksaan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Negara melibatkan 24 tapak binaan dengan 22 daripada mematuhi peraturan dan dua tapak lagi tidak beroperasi.

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan di 649 premis perniagaan termasuk 463 peruncit dan 155 pemborong,” katanya.

Secara keseluruhan tegasnya, bekalan masih stabil dan 705 pemeriksaan khas pematuhan prosedur operasi standard dilakukan dengan hanya satu premis yang gagal telah diberi nasihat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya