KUALA LUMPUR : Jalinan kerjasama Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak akan mampu menarik sokongan Ahli Parlimen UMNO yang lain.
Malah Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakob berkata, kesanggupan Ku Li menimbulkan banyak persoalan lebih-lebih lagi beliau pernah ‘dipermainkan’ oleh Dr. Mahathir sendiri.
Katanya, Ku Li juga dilihat sebagai alat untuk ‘memperalat’ bagi memancing pemimpin UMNO menyertai pakatan mereka.
“Saya terkejut dengan kesanggupan Ku Li mahu bekerjasama. Sejak zaman dahulu lagi Ku Li dipermainkan Dr. Mahathir dan didakwa dengan pelbagai tuduhan termasuk ketika pemilihan parti 1987
“Apa yang pelik mereka kini boleh pula berkongsi pentas yang sama kononnya demi negara. Ini menimbulkan banyak persoalan kepada banyak pemimpin dan ‘orang lama’ UMNO,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Beliau mengulas kerjasama antara Dr. Mahathir dan Ku Li yang sebelum ini merupakan ‘seteru’ politik lebih 30 tahun lalu.
Dalam sidang akhbar kelmarin, Dr. Mahathir dan Ku Li menyatakan kesediaan berkongsi pengalaman yang disifatkan berada dalam keadaan terumbang ambing.
Sementara itu, Mustapha yakin Ahli Parlimen UMNO tidak akan terpengaruh dengan kerjasama yang terjalin antara dua pemimpin itu.
Menurutnya, ini kerana setiap pemimpin parti itu tahu hala tuju dan sumbangan parti kepada mereka.
“Malah, ‘jasa’ Dr. Mahathir terhadap UMNO dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sesekali tidak akan dilupakan,” jelasnya. – UTUSAN










