Kluster Persiaran Height, kluster tempat kerja pasar raya - Utusan Malaysia

Kluster Persiaran Height, kluster tempat kerja pasar raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kluster Persiaran Height yang dikesan di negeri ini dipercayai wujud dari tempat kerja sebuah pasar raya di Forest Height dekat sini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S. Veerapan berkata, kes indeks bagi kluster ini iaitu kes ke-84, 673 telah dilaporkan positif Covid-19 pada 14 Disember lalu melalui saringan individu bergejala.

Menurutnya, sehingga hari ini seramai 60 individu telah disaring di mana 21 daripadanya telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini.

“Secara keseluruhannya, sehingga 12 tengah hari ini, terdapat 174 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan, menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 sebanyak 6,858 kes.

“Daripada jumlah kumulatif tersebut, 5,873 kes telah sembuh dan discaj, 974 kes yang masih menerima rawatan di wad dan 11 kes telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Veerapan berkata, terdapat 1,507 kes aktif mengikut definisi Program Pengurangan Risiko Daerah (Jumlah kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari terakhir).

Menurutnya, pertambahan 174 kes baharu hari ini membabitkan 96 kes saringan kluster Penjara Jalan Harapan di daerah Jelebu.

“Manakala 77 kes pula di daerah Seremban membabitkan beberapa kluster seperti kluster Ceram, Cergas dan saringan kontak rapat kes positif Covid-19 serta saringan bergejala.

“Satu kes saringan kontak rapat Covid-19 pula dicatatkan di daerah Port Dickson.

Sementara itu, Econsave Cash & Carry dalam satu kenyataan rasmi di Facebook mereka hari ini memakluman, Econsave Forest Height dalam proses disinfeksi dan pembersihan susulan terdapat kes positif Covid-19 membabitkan pasar raya berkenaan.

Menurut kenyataan berkenaan itu lagi, pada 14 Disember lalu, pihak pengurusan dimaklumkan salah seorang pembekal barangan ke pasar raya berkenaan didapati positif Covid-19.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak pasar raya telah melaksanakan inisiatif menjalankan ujian calitan ke atas pekerja di mana kos berkenaan ditanggung pihak pasar raya.

“Hasil ujian mendapati terdapat jumlah yang agak besar pekerja didapati positif Covid-19. Oleh itu, semua pekerja telah distruktur semula untuk menjalani proses kuarantin selama 10 hari.

Menurut kenyataan berkenaan lagi, Pasaraya Econsave Forest Height akan ditutup dan akan dibuka semula selepas kerja-kerja pembersihan dijalankan.

“Keselamatan perlanggan dan juga pekerja menjadi keutamaan kami dan kami juga telah mengimplementasikan kaedah pencegahan di semua cawangan.

“Ia untuk memastikan keselamatan semua pihak termasuklah pemeriksaan suhu badan sebelum masuk ke premis, pendaftaran di aplikasi mySejahtera, penjarakan fizikal dan menjalankan proses sanitasi. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya