Kerusi Parlimen Putrajaya sukar ditembusi parti lain - Utusan Malaysia

Kerusi Parlimen Putrajaya sukar ditembusi parti lain

sokong Muhyiddin
TENGKU ADNAN TENGKU MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerusi Parlimen Putrajaya sukar ditembusi mana-mana parti lain kerana sudah jelas difahami ia merupakan kerusi tradisi milik UMNO atau Barisan Nasional (BN).

Apatah lagi, parti itu tidak pernah tewas dalam persaingan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) walaupun parti lawan meletakkan calon yang dianggap sebagai ‘giant killer’.

Dalam PRU-14 lepas, calon BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berjaya mengekalkan kerusi Parlimen itu apabila menang dengan majoriti 3,372 undi.

Tengku Adnan memperoleh 12,148 undi menewaskan calon Pas, Zainal Abidin Kidam dan calon PKR, Datuk Dr. Samsu Adabi Mamat yang masing-masing memperoleh undi sebanyak 3,634 dan 8,776.

Ini adalah kemenangan Tengku Adnan kali keempat berturut-turut di kerusi Parlimen berkenaan. Pada PRU-13, Tengku Adnan menewaskan calon Pas, Datuk Husam Musa dengan majoriti 5,541 undi sekali gus melenyapkan impian Pas mahu menawan pusat pentadbiran negara itu.

Justeru, pada PRU-15 nanti, UMNO dijangka mampu mempertahankan kerusi itu dengan sokongan lebih banyak pengundi jika melihat kepada penyatuan ummah di bawah Muafakat Nasional (MN) antara UMNO dan Pas.

“Jadi kalau ikut jumlah undi UMNO ditambah dengan undi Pas, dengan situasi PKR pula berpecah dua, maka insya-Allah sokongan kepada parti UMNO dan BN lebih kukuh,” kata Timbalan Ketua Bahagian UMNO Putrajaya, Tun Faisal Ismail Aziz kepada Utusan Malaysia, semalam

Mengambil kira kepada situasi UMNO yang tidak pernah kalah di kerusi ini, maka parti lain wajar memahami bahawa ia tidak boleh diserahkan kepada parti lain.

Namun apakah kekuatan BN itu mampu bertahana ekoran status Tengku Adnan yang didakwa di mahkamah atas kes rasuah.

Walaupun mahkamah akhirnya melepas tanpa membebaskan beliau daripada tuduhan itu, imej beliau sudah tentu sedikit terjejas.

Dalam pada itu, Tun Faisal berkata, satu garis panduan perlu diwujudkan supaya mana-mana parti tidak membuat tuntutan untuk bertanding selain bergantung kepada keputusan Jawatankuasa Pembahagian Kerusi.

“Garis panduan secara umum kena ada, yang paling adil untuk semua parti bahawa kerusi yang dimenangi sesebuah parti maka ia perlu dipertahankan.

“Tak bolehlah kerusi yang UMNO BN menang tiba-tiba orang lain nak ambil pula, macam tak kena lah. Ini sudah menjadi mutual understanding,” katanya.

Jumlah pemilih di Putrajaya sekitar kira-kira 30,000 orang dengan 96 peratus daripadanya adalah Melayu.

Berbanding keahlian parti lain, UMNO memiliki 7,902 ahli sekali gus mengatasi keahlian parti-parti lain.

“Jadi kita yakin boleh menang di Putrajaya. Di sini tenang-tenang sahaja. Tidak ada isu perebutan kerusi,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×