Pusat perlu salur peruntukan pastikan feri ikonik, warisan terus operasi

Kerajaan Pusat perlu salur peruntukan pastikan feri ikonik, warisan terus beroperasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Rancangan menamatkan perkhidmatan feri ikonik dan warisan berusia 126 tahun di negeri ini tidak akan timbul sekiranya Kerajaan Pusat dapat menyediakan peruntukan sewajarnya bagi membolehkannya terus beroperasi.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri memahami adalah berisiko untuk meneruskan perkhidmatan sedia ada sekiranya piawaian keselamatan feri gagal dipatuhi dan kos baik pulihnya pula adalah tiga kali ganda lebih mahal berbanding penggunaan katamaran.

Namun, ujar beliau, perkara itu boleh diatasi sekiranya Kerajaan Pusat memberi peruntukan secukupnya kepada Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dan Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) untuk mengekalkan perkhidmatan feri seperti sedia ada.

“Isunya hanyalah melibatkan kos, jika Kerajaan Pusat boleh memberi peruntukan sebanyak RM30 juta untuk naik taraf perkhidmatan feri termasuk membeli katamaran, mengapa tidak boleh menambah menjadi RM90 juta untuk menempah feri ikonik baharu bagi menggantikan feri sedia ada yang tidak menepati piawaian keselamatan?

“Apatah lagi PPSB sendiri memaklumkan mereka tidak mempunyai masalah untuk mengendalikan perkhidmatan feri ikonik tersebut sekiranya aset-aset itu dibiayai oleh Kementerian Kewangan atau Kerajaan Pusat,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Sebelum ini, SPPP mengumumkan perkhidmatan feri sedia ada akan ditamatkan bermula 1 Januari depan yang mana kenderaan empat roda tidak lagi dapat menggunakan perkhidmatan tersebut.

Bermula tarikh sama juga, feri ikonik sedia ada hanya boleh digunakan oleh penunggang basikal dan motosikal manakala bot laju akan digunakan untuk membawa penumpang individu.

Pelaksanaan perkhidmatan feri baharu itu akan berjalan sepanjang tempoh interim sehingga Jun 2022 sebelum katamaran atau teksi air digunakan sepenuhnya dengan feri ikonik sedia ada akan dijadikan muzium dan restoran terapung.

Dalam pada itu, Kon Yeow mengalu-alukan keputusan Kerajaan Pusat seperti yang diumumkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat semalam untuk mengekalkan perkhidmatan feri seperti sedia ada di negeri ini.

Katanya, beliau berharap perkara itu akan menjadi realiti dan perkhidmatan feri itu yang menjadi ikonik dan warisan negeri ini sejak sekian lama akan terus beroperasi.

Menurut Kon Yeow, keputusan mengekalkan feri sedia ada itu juga selari dengan pendirian kerajaan negeri ini serta penduduk Pulau Pinang yang mahukan perkhidmatan feri yang berusia 126 tahun tersebut terus beroperasi.

“Saya mendapat tahu mengenai perkara ini pagi ini (semalam) dan mengalu-alukannya supaya perkhidmatan feri ini akan terus dinikmati bukan sahaja oleh penduduk tempatan malah orang luar dan pelancong,” katanya.

Dalam sidang Dewan Rakyat semalam, Tengku Zafrul berkata, PPSB akan ‘disyaratkan’ untuk meneruskan perkhidmatan feri Pulau Pinang yang sudah menjadi ikonik dan warisan di negeri ini buat masa ini.

Ini kerana, ujar beliau, Kerajaan Pusat sebelum ini meluluskan peruntukan sebanyak RM30 juta untuk PPSB mengendalikan perkidmatan feri itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya