fbpx

5 Ogos 2021, 3:25 pm

  TERKINI

Kerajaan jimat RM500 juta jika sistem kontrak premis kerajaan dihapuskan

SETIAUSAHA JPKK, M. Sivaranjani (dua kiri) menyerahkan memorandum menggesa kerajaan menghapuskan sistem kontrak di premis-premis kerajaan kepada Julina Johan (dua kanan) di perkarangan Kementerian Kewangan di Putrajaya, hari ini. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA:  Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) menggesa kerajaan menghapuskan sistem kontrak di premis-premis kerajaan supaya mengembalikan jaminan kerja kepada pekerja-pekerja perkhidmatan sokongan.

Penyelaras JKPP,  S. Arutchelvan berkata, sehingga kini terdapat kira-kira 250,000 pekerja kontrak di seluruh negara yang bertugas dalam perkhidmatan sokongan seperti pekerja pembersihan, tukang kebun dan pengawal keselamatan yang bertugas di premis kerajaan.

Katanya, sistem kontrak itu hanya mula dilaksanakan pada tahun 1997 yang mana sebelum itu, semua pekerja merupakan kakitangan kerajaan dengan adanya jaminan kerja. 

“Selama ini, kita selalu diberitahu bahawa penswastaan adalah sesuatu yang baik untuk penjimatan wang kerajaan, tetapi ia adalah sebaliknya. Berdasarkan kajian JPKK, pada tahun 2019, kerajaan membayar sebanyak RM1.5 bilion kepada kontraktor kawalan keselamatan untuk semua sekolah di Malaysia, tetapi kontraktor ini hanya membayar lebih kurang RM1 bilion kepada pekerja-pekerja mereka. 

“Jika kerajaan menyerap balik pekerja-pekerja kontrak ini, kerajaan bolehlah jimat RM500 juta, malah dapat memberi jaminan kepada pekerja-pekerja kita untuk menikmati hak yang lebih baik,” katanya selepas menyerahkan memorandum kepada Kementerian Kewangan, di sini hari ini.

Memorandum berkenaan telah diserahkan kepada  Ketua Komunikasi Korporat KKK, Julina Johan.


Arutchelvan berkata, pekerja perkhidmatan sokongan ini perlu diiktiraf sebagai petugas barisan hadapan dan menyerapkan semula mereka sebagai pekerja tetap di bawah kerajaan supaya mereka dapat menikmati layanan lebih baik. 

Katanya lagi, jika kerajaan ingin membantu rakyat B40, penghapusan sistem kontrak inilah salah satu caranya.

“Kami mahu kerajaan menyerapkan pekerja kontrak sebagai pekerja tetap yang diupah secara langsung oleh kerajaan, menghapuskan  budaya kroni dan orang tengah dan kurangkan pembaziran serta ketidakcekapkan pentadbiran melalui penghapusan sistem kontrak.

“Sebelum ini kami telah menyerahkan memorandum kepada Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan, manakala akan turut diserahkan kepada Kementerian Sumber Manusia, Perdana Menteri serta ketua pembangkang dalam masa terdekat, “ ujarnya. -UTUSAN ONLINE

POPULAR

KOSMO! TERKINI