Keputusan rayuan habeas corpus Addy Kana, dua polis ditangguh - Utusan Malaysia

Keputusan rayuan habeas corpus Addy Kana, dua polis ditangguh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Rayuan habeas corpus ahli perniagaan bergelar ‘Datuk’ dan dua anggota polis untuk membebaskan diri daripada tahanan reman di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959, akan diputuskan oleh Mahkamah
Persekutuan pada satu tarikh lain.

Zaidi Kanapiah atau lebih dikenali sebagai ‘Datuk’ Addy Kana, Koperal Muhamad Amin Nur Rashid Mohamed Puad dan Koperal Mohd Hairy Mohammad ditahan selepas dikaitkan dengan sindiket perjudian dalam talian
haram.

Panel lima hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menangguhkan keputusan selepas mendengar penghujahan peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mengetuai barisan peguam mewakili ketiga-tiga perayu dan Peguam Kanan Persekutuan, Muhammad Sinti mewakili responden-responden.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Zaleha Yusof, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Rhodzariah Bujang mendengar penghujahan dalam mahkamah terbuka secara dalam talian menerusi sidang video.

Sebelum itu, Sri Ram berhujah, penahanan ketiga-tiga anak guamnya dilakukan secara salah dan berniat jahat (mala fide) bertujuan untuk menyembunyikan maklumat berhubung kegiatan salah laku pegawai-pegawai polis.

Hujah Sri Ram, penahanan tersebut adalah tidak sah kerana Seksyen 4 (1)(a) POCA yang disandarkan untuk menahan mereka adalah tidak berperlembagaan dan melanggar doktrin pengasingan kuasa.

Sementara itu, Muhammad pula berhujah agar rayuan itu ditolak atas alasan habeas corpus tersebut kini bersifat akademik kerana tempoh tahanan reman yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret telah tamat.

Hujahnya, Seksyen 4(1)(a) tidak melanggar Perlembagaan kerana telah dibahas di Parlimen yang memberi kuasa kepada majistret untuk mendengar permohonan tahanan reman.

Sehubungan itu Muhammad berhujah, isu yang dibangkitkan oleh peguam bela tidak mempunyai merit yang mewajarkan panel tersebut untuk campur tangan terhadap dapatan hakim bicara.

Ketiga-tiganya merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2 November lalu yang mengekalkan tempoh tahanan di bawah POCA selama 38 hari kerana dipercayai terlibat kes judi dalam talian.

Tahanan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret sepatutnya tamat pada 6 Disember lalu.

Bagaimanapun, media melaporkan, ketiga-tiganya serta seorang lagi tahanan, Alvin Goh Leong Yeong kini ditahan selama dua tahun di bawah POCA bermula 25 November.

Alvin dan seorang anggota polis ditahan di Penjara Simpang Renggam, Johor manakala Addy Kana pula ditahan di Penjara Pokok Sena, Kedah manakala seorang lagi anggota polis dari Kontinjen Selangor ditahan di
Penjara Bentong, Pahang.

Terdahulu, Alvin dan Addy ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan aktiviti penipuan Macau Scam dan judi dalam talian yang mensasarkan mangsa di China dan bekerjasama
dengan kartel penipuan di luar negara. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.