Kemelut Perak isyarat UMNO kepada Muhyiddin - Utusan Malaysia

Kemelut Perak isyarat UMNO kepada Muhyiddin

PROF. Madya Dr. Rusdi Omar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU : Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu bijak dan segera menangani kemelut di Perak sebelum situasi bertambah parah seterusnya boleh menjejaskan kerajaan Pusat.

Dalam masa sama, situasi itu juga merupakan isyarat jelas UMNO kepada Muhyiddin supaya tidak memandang rendah atau meminggirkan parti yang mempunyai majoriti.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Rusdi Omar berkata, meskipun hanya di peringkat negeri, kerajaan PN tidak boleh memandang remeh isu tersebut kerana ia boleh berlarutan dan menuju kepada keretakan hubungan antara UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas di dalam kerajaan.

Malah katanya, keadaan akan bertambah rumit jika Pas dan Bersatu tidak menyokong calon daripada UMNO yang mempunyai kerusi paling banyak sebagai Menteri Besar.

“UMNO dilihat sudah menunjukkan tindak balas selepas parti itu seolah-olah dipinggirkan di dalam kerajaan meskipun mempunyai majoriti sama ada di Perak mahupun di peringkat Persekutuan. Sebagai parti majoriti ketika ini, mereka perlu mendapat hak sewajarnya.

“Saya tidak lihat kemelut yang berlaku ini sebagai perkara kecil kerana jika tidak ditangani dengan baik ia boleh berlarutan sehingga peringkat Pusat. Muhyiddin perlu menangani dengan cepat dan bijaksana.

“Kalau kita lihat, kenyataan daripada Pas, UMNO dan Bersatu sudah kontra dengan Pas menetapkan pendirian tidak akan menyertai kerajaan baharu yang bakal ditubuhkan. Apa akan jadi jika UMNO mencadangkan calon Menteri Besar daripada parti itu namun tidak mendapat persetujuan Pas mahupun Bersatu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak kelmarin, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal mendapat sokongan majoriti daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak dalam undi usul percaya terhadap beliau.

Sementara itu, Pakar Perlembagaan, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mungkin akan melantik Menteri Besar baharu ataupun barisan Exco secara interim sementara menanti Pilihan Raya Negeri (PRN) jika DUN dibubar.

“Mungkin Sultan Nazrin akan melantik ADUN dalam kalangan UMNO yang mungkin mendapat kepercayaan dan Exco interim diketuai Menteri Besar itu,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN