fbpx

Kedai emas kena serbu

ORANG ramai mengambil peluang membeli emas berikutan harganya yang jatuh antara RM230 hingga RM240 bagi satu gram di sebuah kedai emas di Pusat Perniagaan Bandar Baru Uda, Johor Bahru semalam. – FOTO/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Gara-gara berita penyusutan harga emas sejak kebelakangan ini membuatkan orang ramai menyerbu kedai barangan kemas termasuk di negeri ini demi mendapatkan koleksi dengan harga lebih rendah.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar bandar raya ini mendapati orang ramai mula beratur panjang sejak pukul 9.30 pagi walaupun kedai emas mula beroperasi pukul 10 pagi.

Pemilik Kedai Emas Aurora, Dayana Haironi berkata, jumlah pelanggan meningkat satu kali ganda sejak minggu lalu berbanding hari biasa.

“Sebelum harga emas turun sejak minggu lepas, pelanggan kami selalunya antara 50 hingga 70 orang dalam sehari.

“Kini meningkat satu kali ganda antara 100 hingga ke 150 pelanggan,” katanya ketika ditemui di kedainya di Jalan Padi Emas 1/2, Bandar Baru Uda di sini hari ini.

Harga emas di negeri ini jatuh antara RM230 hingga RM240 satu gram berbanding RM270 hingga RM280 satu gram sebelum ini.

Dalam pada itu, Dayana berkata, harga emas jatuh atas beberapa faktor antaranya pe­ngaruh politik di Amerika Syarikat (AS).

“Selepas pemilihan Presiden AS yang memihak kepada Joe Biden, pelabur dan masyarakat dunia mula percaya kepada mata wang Dollar US.

“Kedua adalah faktor pene­muan vaksin Covid-19, sebelum ini orang ramai tidak berani berbelanja menyebabkan pelabur memilih emas sebagai aset selamat,” katanya.

Sementara itu, seorang pembeli yang mahu dikenali Masturah berkata, dia ingin mendapatkan koleksi barangan kemas di samping harga berpatutan.

Katanya, dia tidak menyesal untuk beratur awal semata-mata mahu membeli barangan kemas.

“Waktu ini adalah peluang terbaik untuk mendapatkan barangan emas,” katanya. – UTUSAN