Kanak-kanak cedera jatuh motosikal dikejar anjing liar - Utusan Malaysia

Kanak-kanak cedera jatuh motosikal dikejar anjing liar

KEADAAN kanak-kanak yang cedera terjatuh dari motosikal akibat dikejar anjing liar dalam kejadian di Sungai Siput kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun cedera pada bahagian kepala dan badan setelah terjatuh dari motosikalnya akibat dikejar anjing liar dalam kejadian di Taman Yakin Mesra di sini kelmarin.

Kejadian kira-kira pada pukul 7.10 pagi itu berlaku ketika kanak-kanak, Mohd. Putra Afiq Sazri membonceng motosikal bersama rakannya untuk pulang ke rumah selepas menunaikan solat subuh di sebuah surau.

Bapa mangsa, Sazri Abdullah, 41, berkata, sebelum kejadian itu, dia dan anaknya ke surau di kawasan perumahan tersebut untuk solat Subuh.

Katanya, selepas selesai solat, anaknya memberitahu mahu pulang ke rumah bersama rakannya dengan menaiki motosikal.

“Ketika dalam perjalanan pulang, anak saya dikejar anjing liar menyebabkan motosikalnya melanggar bonggol lalu dia terpelanting.

“Akibatnya, dia cedera pada kepala dan menerima dua jahitan manakala badannya bercalar dan lebam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Berikutan kejadian itu, kanak-kanak itu dirawat di Hospital Sungai Siput.

Menurut Sazli, dia telah membuat laporan di Balai Polis Sungai Siput dan aduan kepada Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) berhubung kejadian yang menimpa anaknya.

“Saya membuat aduan kepada MPKK kerana penduduk di taman berkenaan sering dikejar anjing liar namun aduan yang dibuat tiada sebarang tindakan,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua MPKK, Zulqarnain Mohamad mengesahkan pihaknya telah menerima aduan kejadian tersebut dan telah menangkap anjing liar di kawasan perumahan tersebut pada hari kejadian.

“Anjing liar yang ditangkap dikurung dan dilepaskan di tapak pelupusan sampah selepas tidak dituntut mana-mana pihak,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya