Kalau negeri tak stabil apa lagi Persekutuan? - Utusan Malaysia

Kalau negeri tak stabil apa lagi Persekutuan?

Prof. Dr Kartini Aboo Talib
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jika di peringkat kerajaan negeri tiada lagi ketidakstabilan dan hilang kepercayaan terhadap mana-mana wakil rakyat, apa lagi di peringkat Persekutuan.

Situasi itu secara jelas menunjukkan Perikatan Nasional (PN) amat rapuh dan bila-bila masa boleh tumbang.

Demikian gambaran penganalisis politik politik, Prof. Dr. Kartini Aboo Talib yang mengulas kegagalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang dan juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mendapat sokongan majoriti wakil rakyat.

Kata pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu, tanda-tanda kejatuhan PN sudah timbul sejak pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November lalu apabila wujud gerakan menentangnya walaupun tidak tercapai kerana belanjawan dilihat penting ketika pandemik Covid-19.

“Saya menjangkakan PN tidak akan mampu bertahan lama jika pada peringkat negeri sudah menjadi seperti dialami Ahmad Faizal.

“Bagi mengelak tumbang sebelum atau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti, PN harus bekerja keras untuk memastikan mereka kekal berkuasa kerana tanpa sokongan akar umbi dan jentera parti, PN tidak boleh pergi jauh,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Ahmad Faizal kelmarin gagal mendapat sokongan wakil-wakil Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dalam undian percaya apabila hanya mendapat 10 sokongan berbanding 48 undi menolak.

Usul tersebut dibawa ADUN Pengkalan Baru (UMNO), Datuk Abd. Manaf Hashim.

Ini membuktikan Ahmad Faizal harus meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar Perak serta-merta bagaimanapun DUN Perak ditangguhkan sehingga 9 November ini.

Ditanya sama ada situasi di Perak akan merebak ke negeri-negeri lain di bawah PN, Kartini tidak menolak andaian tersebut kerana status PN tidak kukuh selain bergantung harap kepada UMNO dan Pas mentadbir negara.

“PN harus menggunakan kebijaksanaan dari segi sumber untuk menarik atau menawarkan sesuatu. Mereka harus memulakan langkah berunding dengan parti-parti sealiran untuk menunjukkan PN mempunyai ikatan kukuh dan bukannya longgar namun ini sudah pasti akan mengambil masa lama,” katanya.

Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, percaturan politik yang berlaku diharap tidak membuka ruang pergeseran yang hanya merugikan dominasi parti-parti politik Melayu Islam antara Bersatu, UMNO dan Pas kerana ahli politik seharusnya bersikap lebih pasif dalam isu kepentingan parti berteraskan Melayu Islam.

“UMNO juga perlu lebih berhati-hati dalam membina kembali kepercayaan rakyat dan jangan dilihat terlalu terdesak mengembalikan kedudukan politik mereka dan berasa terlalu yakin dengan penerimaan mereka pada peringkat akar umbi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×