KUALA LUMPUR: Spekulasi Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperoleh sokongan 113 ahli ahli Parlimen dalam bentuk akuan bersumpah (SD) disifatkan sebagai satu cubaan untuk memancing pendirian beberapa ahli Parlimen.
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu sengaja ditimbulkan oleh sebuah portal berita yang memetik sumber yang tidak dapat disahkan kesahihannya.
“Mereka seolah-olah ada niat untuk menjadikan berita itu sebagai umpan bagi mendapatkan penafian daripada beberapa ahli Parlimen supaya isu ini timbul lagi.
“Apa tujuan sumber itu perlu diwawancara atau adakah ada motif tertentu di sebalik berita yang memetik sumber tersebut. Sebab itu, saya anggap ini cubaan memancing ahli Parlimen, dan dalam isu ini ia bagi manfaat kepada siapa?” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Beliau mengulas dakwaan Anwar berjaya mendapat sokongan berbentuk SD daripada 10 ahli Parlimen UMNO dan mempunyai bilangan majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan baharu.
Pada masa sama, Fahmi mengesahkan tidak timbul isu sokongan SD dalam partinya seperti yang didakwa.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas sama ada dakwaan itu benar atau sebaliknya.
“Memang rakyat melihat kerajaan sedia ada mempunyai masalah keabsahan dan berharap perkara ini dapat diselesaikan.
“Tetapi kita hanya akan beri reaksi apabila tibanya pengumuman dan belum ada pemakluman kepada saya, jadi tidak ada isu yang timbul selagi belum ada pengumuman buat masa ini,” katanya. – UTUSAN










