Ingkar PKP: Taiping paling tinggi dikompaun di Perak - Utusan Malaysia

Ingkar PKP: Taiping paling tinggi dikompaun di Perak

MIOR FARIDALATHRASH WAHID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seramai 5,192 individu di negeri ini dikompaun atas pelbagai kesalahan mengingkari prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan bermula Mac lalu sehingga kelmarin.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, daerah Taiping merekodkan jumlah individu tertinggi dikompaun seramai 1,077 orang diikuti Manjung (997), Tapah (737), Ipoh (675) dan Muallim (363).

Katanya, kesalahan membabitkan pemakaian pelitup muka merupakan alasan yang sering diberikan kepada pihak polis semasa membuat pemantauan dan penguatkusaan SOP di lapangan.

“Antara alasan yang sering digunakan orang ramai ialah tidak tahu peruntukan sebenar SOP yang mewajibkan memakai pelitup muka di tempat awam.

“Malah, ada juga yang memberi alasan terlupa memakai pelitup muka dan tidak mampu membelinya selain tidak mematuhi penjarakan sosial ketika berada di tempat awam termasuk restoran dan kaunter perkhidmatan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, sebanyak 456 premis juga telah diarah tutup kerana gagal mematuhi SOP sektor perniagaan ketika PKP.

Katanya, jumlah itu direkodkan di seluruh negeri kecuali daerah Perak Tengah, Pengkalan Hulu dan Selama bermula 18 Jun hingga 20 Disember lalu.

“Daerah Manjung merekodkan jumlah premis ditutup tertinggi ekoran tidak mematuhi SOP diikuti Taiping, Muallim, Ipoh, Hilir Perak dan Tapah,” katanya.

Tambah beliau, orang ramai diminta untuk terus mematuhi SOP ditetapkan dengan menjaga jarak dan memakai pelitup muka serta menjauhi tempat tumpuan ramai.

“Kita minta mereka agar terus mematuhi sepenuhnya SOP atau garis panduan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam usaha mengawal penularan pandemik Covid-19,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya