Wajibkan ganti MyKad segera bendung kad pengenalan palsu - Utusan Malaysia

Wajibkan ganti MyKad segera bendung kad pengenalan palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penggantian kad pengenalan (MyKad) sedia ada kepada yang baharu tidak membantu proses pemutihan kewarganegaraan sekiranya kerajaan tidak bertegas mewajibkan penukaran dengan kadar segera.

MyKad telah menjalani beberapa proses penambahbaikan bagi memperkuat elemen keselamatannya selepas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memperkenalkan Mykad Struktur Baharu pada Januari 2012.

Namun sehingga kini, semakan mendapati tiada arahan yang dikeluarkan pihak berwajib seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mewajibkan rakyat di negara ini menukar MyKad lama kepada struktur baharu yang lebih selamat kerana mempunyai ciri imej turisan laser.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, kerajaan mesti mewajibkan seluruh rakyat menukar kad pengenalan sedia ada kepada versi terkini, seandainya ia diperkenalkan kelak.

Beliau berkata, hanya itu satu-satunya langkah yang dilihat berkesan menghapuskan MyKad palsu atau yang dikeluarkan secara haram.

“Pemutihan segera dengan menukarkan kad pengenalan sekarang kepada kad pengenalan yang baharu adalah penting dan wajar disegerakan. Melalui kaedah ini, pihak berkuasa boleh mengesan saki baki kad pengenalan haram yang telah dikeluarkan.

“Sistem baharu juga penting dalam memastikan keselamatan rakyat lebih terjamin. Arahan penukaran haruslah dipercepat melalui landasan persefahaman yang jitu. Prosedur operasi standard (SOP) yang jelas perlu disediakan agar mampu menangani isu kritikal ini sebelum menjadi lebih parah,” katanya ketika dihubungi semalam.

Dewan Negara September lalu dimaklumkan, kerajaan tidak bercadang menukar MyKad kerana ia dilengkapi ciri-ciri keselamatan bermutu tinggi dan canggih.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said berkata, KDN melalui JPN sentiasa terbuka untuk mengkaji dan mendapatkan pandangan daripada mana-mana pakar sekiranya ada keperluan pada masa akan datang.

Pada April 2012, KDN melalui Ketua Setiausahanya ketika itu, Tan Sri Mahmood Adam secara terbuka menyatakan pertukaran kepada MyKad Struktur Baharu tidak diwajibkan kerana ia adalah pelaksanaan berterusan tanpa tarikh tutup.

Dalam pada itu, Jais menambah, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) perlu diusulkan di Parlimen dengan kadar segera bagi membersihkan senarai kewarganegaraan Malaysia, tambahan pula Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) boleh berlangsung pada bila-bila masa.

Jelasnya, ia penting untuk membersihkan dan memulihkan kepercayaan masyarakat terhadap integriti Jabatan Imigresen dan JPN.

“MCW telah menghantar memorandum khas kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 20 September 2019 bagi mencadangkan 10 bentuk dasar dan arahan yang perlu dikerahkan bagi menangani kes ini secara lebih komprehensif.

“Pejabat Perdana Menteri telah memberi respons dengan meminta Ketua Setiausaha KDN berbincang dan mendapatkan perincian cadangan ini, tetapi sehingga sekarang masih belum ada susulan lanjut,” ujarnya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN