fbpx

Fitnah polis rasuah: Abu Ghraib diburu

TANGKAP layar Facebook memaparkan video seorang anggota polis memeriksa sebuah kenderaan dalam sekatan jalan raya bergerak di Persiaran Batu Nilam 34, Bukit Tinggi, Klang, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Polis Klang Selatan menafikan dakwaan seorang pengguna Facebook bernama Abu Ghraib yang menyebarkan video mengatakan anggota polis di sekatan jalan raya bergerak terlibat rasuah dalam kejadian di Persiaran Batu Nilam 34, Bukit Tinggi di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya menerima laporan daripada anggota polis yang bertugas di lokasi kejadian kira-kira pukul 3 petang semalam.

Menurutnya, anggota terbabit memaklumkan bahawa dia ternampak video berdurasi satu minit 57 saat yang dimuat naik dalam Facebook tersebut memaparkan satu unit peronda daripada kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki empat individu iaitu polis dan tentera.

“Pengguna Facebook ini memaklumkan polis memasukkan wang ke dalam poket setelah membuat pemeriksaan salah sebuah kenderaan Mitsubishi Triton yang dipandu seorang lelaki.

“Hasil siasatan mendapati rakaman tersebut dimuat naik pada 11 Disember yang mana pengadu ketika itu sedang bertugas sebagai pasukan penguat kuasa Op Covid-19 di sekatan jalan raya bergerak.

“Rakaman terhadap pemilik kenderaan telah diambil dan siasatan mendapati tiada sebarang pemberian wang atau lain-lain semasa pemeriksaan dijalankan terhadap kenderaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, pihaknya kini sedang memburu pengguna Facebook itu yang dikenali sebagai Abu Ghraib.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” ujarnya. – UTUSAN