Dibuang kerja tidak patah semangat jadi usahawan tani - Utusan Malaysia

Dibuang kerja tidak patah semangat jadi usahawan tani

MOHD. Lokman Kumasi sedang melihat pokok peria gantung di Kampung Parit Mohayat, Ayer Baloi, Pontian, Johor.-UTUSAN/MUHAMMAD ZIKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Seorang pemuda sebelum ini menikmati gaji sebanyak S$1,700 (RM5,100) di sebuah restoran makanan segera di Singapura, namun kesan pandemik Covid-19 di samping pintu sempadan ditutup sekali gus menyebabkan pekerjaannya sebagai pengurus cawangan ditamatkan.

Namun, bagi Mohd. Lokman Kumasi, 25, perkara itu tidak mematahkan semangatnya mencari laluan baharu bagi meneruskan kehidupan dengan kali ini mencuba sebagai usahawan tani tanaman peria gantung di Kampung Parit Mohayat, Ayer Baloi di sini.

“Saya pada mulanya bingung kerana baru sahaja berkahwin tetapi dalam masa yang sama telah hilang pekerjaan apatah lagi perlu menyara kehidupan bersama isteri, Siti Azmira Doman yang bertugas sebagai jurutera elektrik di Subang, Selangor.

“Namun pada satu petang, ibu membawa saya melihat sebidang tanah di Ayer Baloi dan ketika perjalanan balik singgah ke projek tanaman timun gantung secara fertigasi diusahakan seorang usahawan tempatan, Nor Azman Mohd. Erhan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Tambah Mohd. Lokman, lawatan secara tidak sengaja itu telah menarik minatnya menceburi bidang pertanian setelah mendengar kisah Nor Azman yang kini menjadi pengusaha tanaman timun gantung berjaya di daerah Pontian.

“Saya mengambil keputusan menanam peria gantung secara fertigasi di atas tanah seluas lebih satu ekar dengan kos permulaan sebanyak RM60,000 termasuk RM20,000 pemberian ibu,” katanya.

Katanya, dia amat berterima kasih kepada Nor Azman yang dianggap sebagai guru walaupun baharu sahaja berkenalan tetapi tidak lokek berkongsi ilmu mengenai tanaman kaedah fertigasi itu.

Mohd. Lokman memaklumkan, dia tidak sangka keputusan untuk pulang ke sini seketika bagi menguruskan perkahwinan bersama isteri pada Mei lalu berakhir dengan berita sedih apabila majikan memutuskan untuk memecatnya.

Lelaki berkelulusan ijazah sarjana muda kejuruteraan elektrik sebuah universiti tempatan menyifatkan pemecatan tersebut sebagai takdir dan menganggapnya sebagai sudah tiada rezeki di Singapura serta perlu menerima hakikat untuk terus berbakti pada tanah air sendiri.

Ditanya mengenai reaksi isterinya dengan keputusan bidang itu, dia berterima kasih di atas sokongan yang diberikan kerana memahami langkah yang diambil itu.

“Namun saya menanti penuh debar hasil tuaian pertama peria yang dijangka penghujung bulan ini dengan harga ketika ini RM5.50 satu kilogram dan anggaran pengeluaran sebanyak 20 tan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya