Bukan dari rumah sembelihan diiktiraf Jakim - Utusan Malaysia

Bukan dari rumah sembelihan diiktiraf Jakim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Isu penyeludupan daging import bukan semata-mata membabitkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), namun ia melibatkan pelbagai pihak berkuasa yang sedang berusaha merungkai permasalahan itu.

Pengarah Bahagian Penyelidikan Jakim, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, biarpun rakyat merasakan isu terbabit di bawah tanggungjawab jabatan itu, namun persoalan yang ditimbulkan bukanlah dalam bidang kuasanya.

Katanya, siasatan sedang dilakukan pihak yang bertanggungjawab iaitu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang pastinya sedang diakukan secara telus dan terbaik.

“Kita (Jakim) berdiam diri sebab persoalan dikemukakan bukanlah dalam bidang kuasa kita. Maka dengan memberi maklum balas pastinya akan menimbulkan suasana yang tidak baik sekiranya apa yang dinyatakan tidak benar.

“Isu daging seludup terbabit adalah berkaitan pembungkusan semula dan logo yang dipalsukan sekali gus membabitkan pelbagai agensi berkaitan, bukannya Jakim semata-mata,” katanya.

Beliau berkata demikian melalui sesi bual bicara, bertajuk “SOP Sijil Halal : Di mana silapnya?” secara langsung di Facebook rasmi Jakim.

Sirajuddin berkata, sekiranya pihaknya mengeluarkan kenyataan maka sudah pastinya akan menjejaskan siasatan agensi berkaitan kerana setiap agensi berkuasa mempunyai bidang kuasa masing-masing.

Katanya, isu berkenaan heboh apabila Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) membongkarkan kegiatan terbabit, bukannya didedahkan pihak luar atau orang awam.

“Perkara ini terjadi apabila ada pihak tidak bertanggungjawab membawa masuk daging yang bukannya daripada antara rumah penyembelihan yang diiktiraf Jakim dan apabila masuk ke negara ini, mereka menggunakan bungkusan yang mempunyai sijil dari badan luar yang diiktiraf Jakim.

“Isu inilah yang sedang disiasat KPDNHEP dan isu ciplak logo termasuk logo halal bukanlah isu baharu tetapi ia dipandang serius oleh semua agensi berkuasa yang berkaitan,” katanya.

Ditanya mengenai persoalan yang ditimbulkan bahawa mengapa nama kartel dan jenama daging terbabit tidak didedahkan kerana terdapat dakwaan isu ini berlarutan sejak 40 tahun lalu, beliau berkata, semua dakwaan dan tuduhan perlulah seiring dengan bukti.

“Saya tidak mengatakan ia berlaku ataupun menafikannya kerana yang nyatakan perkara itu adalah pihak industri dan orang luar, bukannya pihak berkuasa yang benar-benar mengetahui buktinya.

“Kami tidak mempunyai nama dan sebab itu jugalah kami berdiam diri, kerana ia bukan dalam bidang kuasa kami apabila membabitkan aspek import dan gudang. Namun, pihak berkuasa akan dedahkan selepas siasatan selesai untuk pendakwaan,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya