Bilal meninggal dunia ketika azan subuh - Utusan Malaysia

Bilal meninggal dunia ketika azan subuh

JENAZAH Ahmad Bahtim disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bagan Pinang, selepas solat Zuhur, siang tadi. Gambar kanan Allahyarham AHMAD BAHTIM KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Sentiasa membantu memudahkan urusan penduduk dan sering tersenyum merupakan antara keperibadian Bilal 2 Masjid Kampung Baru Si Rusa, Ahmad Bahtim Khalid, 76, yang meninggal dunia ketika azan Subuh sedang berkumandang di masjid berkenaan, pukul 6 pagi tadi.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Baru Sri Rusa, Mohd. Ghazaly Zakaria, 64, berkata, dia baharu sahaja empat tahun mengenali Allahyarham, namun hubungan mereka tetap mesra kerana Ahmad Bahtim sememangnya sangat ceria serta peramah.

Menurutnya, kebiasaannya arwah akan melaungkan azan namun pada pagi tadi, arwah tiba lewat sedikit ke masjid berkemungkinan disebabkan hujan.

“Arwah seperti biasa membentangkan dan membetulkan sejadah untuk jemaah sebelum tiba-tiba rebah. Masa itu ada jemaah yang sempat meribakan arwah dan membantunya mengucap dua kalimah syahadah.

“Ketika azan masih berkumandang, dada dia berombak sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir. Arwah ini sememangnya sangat baik dan di wajahnya sering mengukir senyuman,” katanya.

Mohd. Ghazaly berkata, ahli jawatankuasa masjid menghubungi ambulans dan pasukan paramedik yang tiba kemudiannya mengesahkan Ahmad Bahtim sudah meninggal dunia.

Jenazah Allahyarham dimandi dan disolatkan selepas Zuhur di masjid berkenaan sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bagan Pinang.

Ahmad Bahtim meninggalkan seorang balu berusia 68 tahun dan dua anak berusia 40-an. – UTUSAN

Bilal meninggal dunia ketika azan subuh“Ketika azan masih berkumandang, dada dia berombak sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya