Bersatu mahu tujuh kerusi DUN di Perlis - Utusan Malaysia

Bersatu mahu tujuh kerusi DUN di Perlis

Izizam Ibrahim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Di sebalik cakap-cakap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perlis tiada tempat di negeri ini, namun parti tersebut tetap optimis meluaskan pengaruhnya dengan menyasarkan untuk bertanding di tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) serta salah satu daripada tiga Parlimen negeri ini, dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

Setiausaha Bersatu negeri, Izizam Ibrahim berkata, antara kerusi yang dilihat berpontensi untuk ditandingi Bersatu ialah DUN Pauh, Tambun Tulang, Kuala Perlis, Kayang, Chuping, Mata Ayer, Titi Tinggi serta Parlimen Kangar atau Padang Besar.

Bagaimanapun katanya, keputusan mengenai pengagihan kerusi itu akan dibincangkan terlebih dahulu bersama UMNO dan Pas sebelum mencapai kata putus.

“Setiap parti akan ada ‘demand’ (tuntutan atau permintaan) masing-masing. Bagi Bersatu kita menyasarkan untuk bertanding sekurang-kurang dua atau tiga kerusi DUN di setiap Parlimen di negeri ini.

“Kalau boleh, kita tidak mahu ada pertembungan sesama sendiri (Pas dan UMNO) dan perbincangan akan dilakukan bagi mencapai kata sepakat. Di Parlimen, kalau boleh kita menyasarkan Kangar atau Padang Besar.

“Namun apa juga keputusan terserah kepada pimpinan dan hasil perbincangan sesama parti,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Peluang Bersatu untuk mendapat tempat di Perlis dikatakan agak sukar apabila sebelum ini UMNO dan Barisan Nasional (BN) memberi gambaran untuk kekal bertanding di 10 DUN dan dua Parlimen yang dimenangi mereka sebelum ini.

Pas pula dilihat optimis kekal bertanding di dua kerusi DUN iaitu Guar Sanji dan Sanglang yang dimenangi dalam PRU-14 selain mengintai beberapa lagi kerusi milik PKR dalam pilihan raya lalu, seperti Sena, Kuala Perlis dan Indera Kayangan.

Seterusnya timbul persoalan, adakah Bersatu akan diberi ruang oleh UMNO dan Pas iaitu dua parti yang cukup dominan di Perlis untuk sekurang-kurangnya bertanding di beberapa kerusi di negeri ini dalam pilihan raya akan datang?

Dalam PRU-14, Bersatu tewas di kesemua tujuh kerusi yang ditandingi mereka iaitu di Pauh, Guar Sanji, Mata Ayer, Tambun Tulang, Kayang selain Parlimen Padang Besar dan Arau.

Izizam yang juga Ketua Bersatu Padang Besar berkata, Bersatu semakin mendapat tempat di negeri ini termasuk dengan kewujudan lebih 50 cawangan ketika ini selain pertambahan ahli.

“Kita semakin kukuh di Perlis dengan gerak kerja dan kepemimpinan berjalan dengan baik. Ahli juga semakin bertambah dari semasa ke semasa,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya