RANTAU PANJANG: Parlimen Jeli dan Tanah Merah diakui sebagai antara beberapa kerusi di negeri ini yang menjadi ‘idaman’ Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan untuk ditandingi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Pengerusi Bersatu negeri, Datuk Kamaruddin Md. Nor berkata, memandangkan dua kerusi Parlimen terbabit kini disandang wakil daripada Bersatu, maka ia wajar diperuntukkan kepada parti itu.
“Hasrat tersebut telah diangkat kepada pucuk kepemimpinan parti untuk dipertimbang sebelum dikemukakan dalam perbincangan berkaitan agihan kerusi bersama wakil parti-parti sekutu,” katanya.
Beliau ditemui Utusan Malaysia ketika kunjungan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi, di sini kelmarin.
Pada PRU-14, Barisan Nasional (BN) menerusi calonnya, Datuk Seri Mustapa Mohamed memenangi Parlimen Jeli dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Lanas dalam pertandingan tiga penjuru melibatkan calon Pas dan Bersatu.
Sementara itu kerusi Parlimen Tanah Merah dimenangi BN menerusi calonnya, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.
Mereka berdua bagaimanapun memutuskan keluar UMNO dan menyertai Bersatu.
Mengulas kenyataan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Jeli, Datuk Abdul Aziz Derashid yang enggan memberi laluan kepada Bersatu dan sanggup berdepan saingan tiga penjuru, Kamaruddin berkata, pihaknya menghormati pendirian tersebut.
“Itu keputusan dia, kita pula ikut keputusan pucuk pimpinan parti sebab yang tentukan rundingan ini ialah pucuk pimpinan,” katanya. – UTUSAN










