Batal ambang tahun baharu 2021 jika dinasihat oleh MKN - Utusan Malaysia

Batal ambang tahun baharu 2021 jika dinasihat oleh MKN

WAN AHMAD FAYHSAL (berdiri tengah, tiga dari kanan) menunjukkan tanda isyarat sokongan kepada peserta konvoi sempena Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia 2020 di Putrajaya hari ini. - UTUSAN/AMREE AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan bersetuju dengan saranan Majlis Belia Malaysia (MBM) agar dibatal acara ambang tahun baharu 2021 ekoran isu wabak Covid-19 ketika ini.

Bagaimanapun, Timbalan Menterinya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, ia masih tertakluk kepada keputusan rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kita sendiri sudah mengambil maklum saranan MBM dan sedia pertimbang untuk membawa isu ini kepada MKN yang akan memutuskan kerana ia bidang kuasa mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas sesi penyerahan kit pencegahan Covid-19 dan perlepasan konvoi sempena Hari Kesukarelaan Belia Malaysia di sini hari ini.

Acara tersebut buat julung kalinya dirasmikan secara maya oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan turut diadakan serentak di seluruh negara.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal berkata, beliau secara prinsip juga bersetuju dengan MBM supaya program hujung tahun itu dibuat secara maya kerana ia jauh lebih selamat.

“Tengoklah macam sambutan Hari Sukarelawan kali ini, malah kaedah sebegini turut lebih jimat kos, selamat daripada ancaman penularan Covid-19 dan tiada kontroversi,” jelasnya.

Beliau merujuk kes penganjuran Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-33 pada 13 November lalu yang mencetuskan kritikan pelbagai pihak walaupun mematuhi garis panduan MKN.

Sebaliknya, Wan Ahmad Fayhsal berharap, acara ambang tahun baharu pada 31 Disember ini boleh meniru konsep sambutan Hari Kebangsaan 2020 yang turut diadakan secara maya.

Utusan Malaysia pada 28 November lalu melaporkan Presiden MBM, Jufitri Joha menyaran kerajaan batal program ambang tahun baharu akhir bulan ini susulan pandemik Covid-19.

Beliau melahirkan kebimbangan orang ramai kemungkinan besar tidak patuh prosedur operasi standard MKN apabila berkumpul sehingga wujud kluster acara itu selain gejala sosial belia.

Ia ujar Jufitri, bukan baharu kerana kerajaan pernah membatalkan program itu tiga tahun berturut-turut dari 1998 hingga 2000 kerana tarikhnya kebetulan jatuh ketika bulan Ramadan.

Malahan, Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah melakukan perkara sama ekoran bencana tsunami dahsyat yang melanda banyak negara termasuk Malaysia pada 26 Disember 2004.

Kali terakhir acara ini dibatalkan ialah pada 31 Disember 2014 apabila negara berkabung susulan tragedi MH370, MH17 dan pesawat AirAsia terlibat nahas terhempas di Indonesia. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.