JOHOR BAHRU: Seramai 424 banduan dan 23 kakitangan Penjara Kluang disahkan positif Covid-19 sehingga semalam melibatkan Kluster Tembok Gajah yang telah dikenal pasti pada 18 Disember lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, satu Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) telah diwujudkan bagi merawat pesakit tanpa gejala dan gejala ringan.
Jelasnya, Jabatan Kesihatan negeri sedang menjalankan pencarian kes secara aktif bagi mengekang penularan secepat mungkin selepas Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikuatkuasakan di penjara berkenaan.
“Semalam, sebanyak 118 kes Covid-19 baharu dilaporkan di negeri ini, di mana 80 kes daripada kluster aktif sedia ada manakala 24 kes daripada saringan kontak rapat dan 14 kes daripada lain-lain saringan.
“Secara keseluruhan, Johor telah merekodkan sebanyak 3,706 kes, dengan 2009 kes iaitu 54.2 peratus dilaporkan telah pulih, 1,665 kes masih aktif dan sedang dirawat serta 32 kes kematian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah beliau, sehingga semalam, kluster aktif di negeri ini kekal sebanyak 23 kluster, antaranya termasuklah Kluster Gemilang, Kluster Kempas, Kluster Langkasuka, Kluster Makmur, Kluster Kiambang dan Kluster Batu 7.
Tambah beliau, peningkatan kes yang dilaporkan disebabkan pencarian kes secara aktif (ACD) dan aktiviti survelans yang dipertingkatkan Jabatan Kesihatan Negeri Johor bagi mengekang penularan secepat mungkin.
“Orang ramai diingatkan untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) norma baharu dan mendapatkan rawatan segera sekiranya terdapat gejala seperti demam, batuk, sukar bernafas dan lain-lain.
“Masyarakat juga diingat untuk mengurangkan aktiviti sosial. Manakala bagi mereka yang sering berulang-alik ke kawasan zon merah, anda digalakkan menjalani ujian Covid-19 di mana-mana fasiliti kesihatan awam atau swasta,” ujarnya lanjut. -UTUSAN ONLINE