339 pemeriksaan pantau harga bawang, cili naik - Utusan Malaysia

339 pemeriksaan pantau harga bawang, cili naik

ALEXANDER NANTA LINGGI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna melaksanakan 339 pemeriksaan di semua peringkat bagi memantau kenaikan harga bawang dan cili di pasaran.

Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, pemeriksaan tersebut dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 selain mengeluarkan 302 notis pengesahan maklumat barangan kepada peniaga yang didapati membuat kenaikan harga barangan itu. 

Katanya, ini termasuk mengenal pasti dan menyiasat punca sekiranya ada kenaikan harga berlaku di semua peringkat peruncit, pemborong dan pengimport.

“Kementerian sentiasa memandang serius berhubung kenaikan harga barangan berlaku secara tidak terkawal atau mendadak termasuk isu harga bawang dan harga cili.“Dalam hal itu, Bahagian Penguat Kuasa Kementerian melaksanakan pemantauan bekalan di 2,711 peruncit terpilih daerah (DDR) dan 1,039 pemborong terpilih (DDW) hasil pemantauan harian setakat semalam,” katanya dalam sidang akhbar sempena pelancaran Skim Kawalan Harga  pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas (SHMMP) 2020 secara maya di sini hari ini.  

Menurut Alexander, sepanjang pemantauan itu,  tahap keberadaan bekalan bawang di pasaran di peringkat peruncit dan pemborong adalah sebanyak  98 peratus.

Katanya, kementerian turut mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai agensi terutamanya Kementerian Pertanian dan Industri Makanan untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung bekalan import bagi barangan tersebut dan mengesan sama ada berlakunya pengurangan jumlah import dan sebagainya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kementerian  menerima sebanyak 70,689 aduan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac lalu sehingga semalam dan 5,142 daripada aduan tersebut adalah berkaitan harga barangan. 

Katanya, sebanyak 214,760 premis peniaga diperiksa dalam tempoh sama melibatkan pemeriksaan di peringkat peruncit, pemborong dan pengilang bagi menyiasat aduan berkaitan kenaikan harga barangan termasuk lain-lain aduan. 

“Sebanyak 4,743 notis dibawah Seksyen 21 akta tersebut  dikeluarkan kepada mana-mana peniaga yang membuat kenaikan harga bagi memastikan pematuhan perundangan yang dikuatkuasakan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya