187,000 pekebun kecil telah terima bayaran pertama BMT - Utusan Malaysia

187,000 pekebun kecil telah terima bayaran pertama BMT

MOHD. Salim Mohd. Sharif (dua, dari kanan) menyampaikan bantuan zakat kepada penerima dalam majlis Majlis Kasihi Pekebun dan Penyampaian Zakat Risda Negeri Sembilan 2020 di Kampung Orang Asli Panchor, Jempol hari ini.-UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Seramai 187,000 pekebun kecil dan penoreh getah yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kemajuan Perusahaan Getah (Risda) di seluruh negara telah menerima pembayaran pertama Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) 2020 setakat 15 Disember lalu.

Pengerusi Risda, Datuk Mohd. Salim Mohd. Sharif berkata, jumlah tersebut adalah daripada keseluruhan 274,000 pekebun kecil yang telah dikenalpasti untuk menerima bantuan tersebut.

“Seramai 274,000 pekebun kecil akan dapat manfaat daripada pemberian BMT ini iaitu untuk bulan Disember akan dibayar sebanyak RM300.

“Setakat 15 Disember lalu sebanyak RM56 juta telah pun kita belanjakan dan memberi manfaat kepada kira-kira 187,000 pekebun kecil melalui BMT ini. Bakinya akan dibayar secara berperingkat,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Kasihi Pekebun dan Penyampaian Zakat Risda Negeri Sembilan 2020 di Kampung Orang Asli Panchor, Jempol dekat sini hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Risda (Pembangunan) Ali Sabuddin Abd. Samad dan Timbalan Ketua Pengarah Risda (Pengurusan dan Korporat) Sopian Abu Bakar.

Menerusi BMT 2020 setiap pekebun kecil yang telah dikenalpasti akan menerima sebanyak RM600 seorang dengan pembayaran pertama sebanyak RM300 dibayar pada Disember ini manakala bakinya dikreditkan ke dalam akaun penerima pada Januari depan.

Sementara itu, menurut Mohd. Salim yang juga Ahli Parlimen Jempol, Risda akan membina sebuah depoh lateks yang bernilai Rm40,000 di Kampung Orang Asli Panchor pada tahun hadapan yang akan memberi manfaat kepada 119 orang pekebun kecil di kampung berkenaan.

“Depoh ini merupakan yang pertama dibina di kampung orang asli di Negeri Sembilan, dengan pembinaan prasarananya, pekebun kecil ada tempat untuk memproses lateks kerana permintaannya ketika ini cukup tinggi.

“Kita mahu pendapatan pekebun kecil terus meningkat, kebergantungan dengan pengeluaran getah sekerap tidak menjamin pendapatan pekebun kecil ditingkatkan,” katanya.

Jelasnya, ketika ini terdapat lapan buah depoh lateks yang telah dibina oleh Risda di beberapa kawasan antaranya terletak di Kelantan, Terengganu, Perak dan Kedah. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya