137 kes kemalangan basikal direkodkan PDRM - Utusan Malaysia

137 kes kemalangan basikal direkodkan PDRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Sebanyak 137 kes kemalangan direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membabitkan aktiviti berbasikal di jalan raya, sejak Januari sehingga Oktober tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Datuk Azisman Alias berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 56 kes kematian, 18 cedera parah dan 63 cedera ringan.

Menurutnya, sepanjang tahun lalu PDRM merekodkan 201 kes kemalangan dengan 107 kematian, 35 cedera parah dan 59 cedera ringan.

Katanya, aktiviti berbasikal menjadi trend baharu rakyat Malaysia sehingga menimbulkan pelbagai reaksi dan mendatangkan bahaya kepada penunggang serta pengguna jalan raya lain.

“Aktiviti berbasikal di jalan raya boleh mengganggu kelancaran perjalanan kerana kenderaan lain turut menggunakan laluan sama setiap masa yang boleh mengundang risiko kemalangan.

“Pemandu kenderaan seperti lori, bas, kereta, motosikal dan seumpamanya turut diingatkan supaya bertimbang rasa serta berhati-hati ke atas penunggang basikal kerana mereka lebih terdedah kepada bahaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, individu yang menjalankan aktiviti berbasikal dinasihatkan memilih lokasi dan masa sesuai seperti di kawasan kurang kenderaan serta bukan waktu puncak iaitu ketika pergi dan balik kerja.

Katanya, pemilik perlu memastikan peralatan dan basikal digunakan mempunyai ciri keselamatan termasuk menggunakan ‘Roof Rack Carrier’ pada kenderaan untuk mengangkut basikal.

“Penunggang basikal yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 54(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu, Seksyen 79(2) akta sama kerana gagal mematuhi papan tanda lalu lintas dan Seksyen 112(3) akta sama kerana melakukan mana-mana kesalahan berbasikal.

“Selain itu, penunggang basikal juga boleh diambil tindakan mengikut Kaedah 35 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959 kerana tidak memasang lampu pada basikal dan Kaedah 42 kerana tiada ciri keselamatan,” ujarnya.

Tambah Azisman, walaupun tiada larangan aktiviti berbasikal di jalan raya namun penunggang dinasihatkan patuh kepada peraturan dan undang-undang jalan raya demi menjamin keselamatan diri serta pengguna lain.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya