KUALA LUMPUR: UMNO memberi dua syarat kepada Perdana Menteri bagi menyokong Bajet 2021 yang akan dibentang Jumaat ini iaitu melanjutkan moratorium serta membenarkan pengeluaran simpanan daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Dua permintaan itu adalah intipati yang dibincangkan dalam mesyuarat tertutup Barisan Nasional (BN) mengenai Belanjawan 2021 di Ibu pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) petang semalam.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, penetapan syarat tersebut dibuat kerana meletakkan rakyat sebagai keutamaan yang kini terhimpit dengan bebanan dan komitmen berikutan penularan wabak Covid-19 yang menyekat pergerakan serta ramai hilang pekerjaan.
“Kita akan sokong bajet yang dibentangkan dengan BN meletakkan dua permintaan iaitu moratorium dilanjutkan, kita nak ia dimasukkan dalam belanjawan serta permintaan yang kedua adalah pengeluaran KWSP dibenarkan melalui Akaun 1 bagi membantu rakyat yang sedang mengalami kesusahan.
“Kalau betul kerajaan ingin menjaga kepentingan rakyat, kerajaan perlu memenuhi dua permintaan ini dan kerajaan juga harus berfikiran terbuka kerana duit simpanan inilah yang akan membantu mereka dalam keadaan susah,” katanya ketika dihubungi semalam.
Turut hadir dalam perjumpaan tertutup semalam ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi Kelab Penyokong BN (BNBBC), Datuk Seri Najib Tun Razak; Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta beberapa pemimpin kanan UMNO yang lain.
Dalam masa yang sama, Tajuddin turut menyatakan rasa kurang senang terhadap peruntukan sama rata dengan pembangkang yang ingin diberi kerajaan menerusi perjanjian keyakinan dan pembekalan (CSA).
Katanya, perkara itu turut disokong Najib yang juga bekas Perdana Menteri sambil menyifatkan ia bertentangan dengan hak sebagai wakil rakyat.
“Kita ingin diberi sejumlah peruntukan tetapi dengan syarat kita tidak boleh mengganggu-gugat dasar kerajaan yang dibentangkan selama dua tahun.
“Kita daripada ahli Parlimen BN sepakat tidak bersetuju dalam hal ini kerana peranan kita sebagai backbenchers perlu memperbaiki setiap dasar kerajaan yang memerlukan penambahbaikan serta membuat semak dan imbang. Jika ia disekat, ia melanggar sistem demokrasi dan hak kita sebagai wakil rakyat,” ujarnya.
Tambah Tajuddin, beliau menjangkakan syarat-syarat yang dipersetujui oleh UMNO dalam perjumpaan tertutup itu akan dimaklumkan oleh Ahmad Zahid kepada Perdana Menteri dalam masa terdekat sebelum pembentangan Bajet.
Sementara itu, bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kerajaan tidak perlu melayan permintaan DAP berhubung langkah dan cadangan yang dikemukakan Pakatan Harapan (PH) tentang Belanjawan 2021.
Katanya, bajet perlu meletakkan rakyat sebagai keutamaan kerana ia sememangnya tugas kerajaan dan mendokong titah Yang di-Pertuan Agong demi kelangsungan rakyat serta pemulihan ekonomi negara yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19.
“Ini adalah bajet kerajaan, bukan bajet pembangkang. Kalau pembangkang punya bajet itu cerita lain, kita dah cukup majoriti, walaupun nak sambut titah Agong sekalipun, – UTUSAN










