KUALA LUMPUR : Tiga kejadian tembakan berlaku dalam tempoh sebulan di kawasan pos kawalan sempadan Malaysia-Thailand, lokasi dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) diserang awal pagi semalam.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, sebelum kes awal pagi semalam, kejadian yang sama pernah berlaku pada 12 dan 15 November lalu bagaimanapun tiada sebarang kecederaan membabitkan anggota keselamatan yang bertugas di sana.
Ujarnya, hasil siasatan mendapati tembakan itu dilakukan sindiket yang didalangi warga Thailand yang dikenal pasti cuba menyeludup masuk dadah untuk diberikan kepada sindiket tempatan melalui ‘barter trade’ di laluan tersebut.
Jelasnya, tembakan tersebut dipercayai dilakukan sindiket bagi memberi amaran kepada pihak berkuasa Malaysia susulan kawalan sempadan terutama di Perlis dan Kedah yang ketat sehingga menyebabkan kegiatan penyeludupan menjadi sukar dilakukan.
“Sindiket yang menembak dua anggota PGA pagi tadi merupakan salah satu daripada tujuh sindiket penyeludupan dadah yang dikenal pasti polis di kawasan itu.
“Melalui sistem barter trade yang dijalankan, daun ketum dan ubat batuk dibawa sindiket tempatan akan diserahkan kepada sindiket Thailand sebelum ditukar dengan pelbagai jenis dadah termasuk heroin dan pil kuda,” katanya dalam sidang akhbar khas di Bukit Aman di sini semalam.
Mengulas lanjut, Abdul Hamid menegaskan, sebelum kejadian tembakan itu juga, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman ada mengadakan mesyuarat bagi mengumpul maklumat mengenai lorong tikus di kawasan sempadan.
Katanya, salah satu lorong tikus yang dikenal pasti adalah di lokasi kejadian malah pihaknya ada menerima maklumat memaklumkan tentang aktiviti penyeludupan akan dilakukan di lokasi berkenaan antara dua atau tiga hari sebelum kejadian.
“Harga sekilo ketum RM30 di Malaysia namun kosnya meningkat di Thailand menyebabkan mereka sanggup melalukan pertukaran tanpa wang tunai.
“Sehingga kini enam suspek ditahan membabitkan empat ditahan Polis Thailand manakala dua lagi ditahan oleh pihak polis di kawasan berhampiran sempadan.
“Saya difahamkan dua daripada suspek warga Thailand itu kritikal manakala seorang lagi cedera akibat kejadian berbalas tembakan awal pagi semalam,” jelasnya. – UTUSAN










