PONTIAN : Belanjawan 2021 tidak tergugat meskipun Pakatan Harapan (PH) menyifatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) hanya baharu mencapai kemenangan pertama dan mendakwa ada lagi pusingan seterusnya.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tiada istilah kemenangan pusingan pertama atau sebaliknya kerana keseluruhan usul dan dasar belanjawan telah diluluskan dalam sidang Parlimen kelmarin.
Katanya, minggu hadapan adalah perbahasan di peringkat jawatankuasa bagi 27 kementerian untuk menghalusi belanjawan yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
“Ahli-ahli Parlimen boleh mencadang atau meminda peruntukan yang telah diluluskan berdasarkan kesesuaian serta keperluan namun tidak akan menjejaskan Belanjawan 2021 yang telah diluluskan.
“Belanjawan negara telah diluluskan oleh ahli-ahli Parlimen pada sidang Dewan Rakyat pada Khamis lalu kecuali 13 ahli Parlimen yang undian berbelah bagi,” katanya kepada pemberita selepas program Ziarah Kasih di sini hari ini.
Semalam Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pembangkang masih mempunyai peluang untuk menyatakan pendirian dalam pengundian Belanjawan 2021 di peringkat jawatankuasa selepas ini.
Anwar berkata, pembangkang peluang masih wujud untuk menyatakan pendirian tegas termasuk melalui undian belah bahagi di peringkat jawatankuasa dalam minggu-minggu akan datang.
Tambah Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian, PN tidak akan berdiam diri sekiranya pembangkang cuba untuk menggagalkan usul belanjawan yang telah banyak memberikan tumpuan kepada langkah pemulihan ekonomi dan membantu rakyat pasca Covid-19.
Dalam pada itu, Ahmad berkata, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu memudahkan lagi syarat-syarat bagi mengeluarkan caruman untuk membolehkan hasrat membantu lapan juta pencarum yang layak dapat dicapai.
Beliau juga meminta moratorium untuk golongan sederhana (M40) dan kumpulan perusahaan Kecil dan sederhana turut perlu diberikan perhatian memandangkan mereka juga sama terjejas dengan pandemik Covid-19.
“Saya berharap Kementerian Kewangan turut mengambil kira pandangan golongan tinggi (T20) yang sesetengahnya juga terkesan kerana dibuang kerja atau penutupan operasi perniagaan,” katanya.-UTUSAN ONLINE