KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu terus melaksanakan dasar sokongan fiskal sebagai inisiatif menyokong pendapatan isi rumah dan sektor perniagaan yang terkesan akibat penularan pandemik Covid-19.
Pengarah Unit Sokongan Dasar Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), Dr. Denis Hew berkata, sokongan fiskal amat penting sehingga pandemik tersebut berjaya ditangani sepenuhnya.
“Apa yang yang perlu dilakukan sekarang adalah memastikan Covid-19 terus dikekang memandangkan jangkitan virus itu masih belum berakhir.
“Kita juga sedang menyaksikan kemunculan gelombang kedua, malah gelombang ketiga pandemik ini di seluruh dunia,” katanya semasa taklimat secara dalam talian berkenaan Analisis Trend Serantau APEC di sini semalam.
Taklimat tersebut turut disertai Pengarah Eksekutif Sekretariat APEC, Tan Sri Dr. Rebecca Sta Maria dan Penganalisis Unit Sokongan Dasar APEC, Emmanuel San Andres.
Dasar fiskal bertujuan mengutip hasil negara dan membelanjakan hasil tersebut untuk memaksimumkan kebajikan ekonomi dan kebajikan rakyat dalam usaha mencapai guna tenaga penuh selain mengawal masalah inflasi.
Belanjawan 2021 yang dibentangkan di Dewan Rakyat, 6 November lalu menggunakan pendekatan dasar fiskal mengembang iaitu menambah perbelanjaan kerajaan dan mengurangkan kadar cukai bagi menangani pelbagai kesan Covid-19 termasuk peningkatan kadar pengangguran.
Hew berkata, sektor ekonomi yang terjejas boleh menggunakan pelbagai pendekatan berlainan bagi menangani dan menyokong isi rumah dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan memastikan aliran tunai mencukupi dalam ekonomi domestik selagi masih mempunyai ruang dan peluang untuk berbuat demikian.
“Walaupun sudah terdapat berita mengenai penemuan vaksin, itu memerlukan tempoh yang lama sebelum dapat diberikan kepada hampir semua orang. Langkah fiskal adalah antara yang penting perlu ditangani oleh semua ekonomi seluruh dunia,” katanya.
Dalam pada itu, Rebecca dalam taklimat sama berkata, terdapat beberapa inisiatif yang dibincangkan kumpulan kerja Pelancongan APEC untuk memulihkan industri pelancongan.
Beliau antara lain berkata, Pelancongan APEC sedang berusaha menyokong kemudahan, membina kerjasama dengan organisasi seperti Air Bed and Breakfast (Airbnb) untuk bekerjasama dengan komuniti luar bandar bagi menaik taraf kemudahan dan mempersiapkan pekerja pelancongan memberikan perkhidmatan kepada pelancong.
“Kami menjangkakan sektor ini akan menjadi sektor yang terakhir untuk pulih. Bagaimana kita membina kapasiti dalam tempoh ini apabila tiada pelancong masuk dan apa yang perlu kita lakukan sebagai persiapan apabila kembalinya aktiviti pelancongan,” katanya. – UTUSAN










