Selangor catat 254 kes keganasan rumah tangga - Utusan Malaysia

Selangor catat 254 kes keganasan rumah tangga

SITI Mariah(empat kanan) dan beberapa ADUN lain mengangkat plakad slogan 'Hentikan Keganasan, Hormat Wanita' dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sebanyak 254 kes keganasan rumah tangga direkodkan di seluruh Selangor bermula Januari hingga September lalu. 

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr. Siti Mariah Mahmud berkata, berdasarkan statistik dikeluarkan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM), daripada keseluruhan kes yang telah dicatatkan, 224 kes merupakan kaum wanita manakala 30 kes lagi adalah kaum lelaki. 

“Daerah Hulu Langat merekodkan kadar kes keganasan tertinggi sebanyak 70 kes diikuti dengan Gombak (34 kes), Subang Jaya (34 kes), Klang (29 kes) dan jumlah keseluruhan kes di kawasan-kawasan lain 90 kes,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar berkenaan Kempen Hentikan Keganasan Terhadap Wanita 2020 di Foyer Dewan Annex hari ini.

Terdahulu, Mariah menerusi jawatankuasanya telah mengadakan Siri Pra Pelancaran Sambutan 16 Hari Aktivisme Melawan Keganasan Berasaskan Gender sebagai langkah advokasi kepada masyarakat umum di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini. 

Pada pelancaran itu, beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) antaranya Bukit Malawati, Juwairiya Zulkifli telah mengangkat plakad slogan ‘Hentikan Keganasan, Hormat Wanita’ serta memakai pelitup muka berwarna oren sebagai tanda solidariti.

Mengulas lanjut, Mariah berkata, berdasarkan kes yang diterima, perbuatan mendatangkan kecederaan atau mencederakan mangsa secara fizikal merupakan kes tertinggi iaitu dengan sejumlah 119 kes. 

“Sementara 71 kes berbentuk sengaja atau cuba meletakkan mangsa dalam keadaan ketakutan kecederaan fizikal dan 50 jenis kes pemangsa telah melakukan penderaan secara psikologi dan emosi terhadap mangsa.

“Kita mengambil perhatian serius terhadap statistik yang telah dikeluarkan JKM dan berharap pihak yang mempunyai maklumat kes dera agar melaporkannya kepada pihak berkuasa,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya