JEMPOL: “Selalu kalau nak masuk bertugas ayah akan beritahu, tapi kali ini dia tak beritahu.”
Itu luahan anak kedua mendiang Koperal Baharuddin Ramli, Dian Baharuddin, 29, yang kalil terakhir berjumpa bapanya itu Oktober lalu.
Menurutnya, ketika itu bapanya pulang ke kampung selepas mendapat cuti selama seminggu.
“Setiap kali masuk operasi ayah akan pesan jaga kebun, kalau rajin pergi menoreh getah, tapi nak masuk operasi kali ini ayah tiada pesan apa-apa,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Orang Asli Sungai Sampo, Air Hitam, Bandar Seri Jempol dekat sini semalam.
Baharuddin, 54, anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) maut ditembak ketika bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand, Padang Besar, Perlis.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, Baharuddin terkorban terkena tembakan di bahagian perut manakala seorang lagi rakannya, Koperal Norihan Tari, 39, cedera parah dan kini menerima rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar.
Sementara itu, bapa kepada Baharuddin, Ramli Derus, 75, berkata, dia dimaklumkan berkenaan kejadian yang menimpa anak sulungnya itu kira-kira pukul 4 pagi.
“Kali terakhir kami berjumpa pada bulan Oktober, dia cuti seminggu, dia ada beritahu akan masuk operasi 1 November dan dijangka keluar pada 1 Disember.
“Masa jumpa dia tiada cakap apa-apa yang lain, cuma tiga hari lepas dia ada menelefon, tanya khabar saya, perbualan kami tidak lama, dalam lima minit sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, jenazah mendiang dijangka dikebumikan hari ini kira-kira pukul 1 petang di Tanah Perkuburan Orang Asli Kampung Sungai Sampo, Air Hitam, Bandar Seri Jempol , dekat sini. – UTUSAN










