Rombak Kabinet tidak selesai masalah - Utusan Malaysia

Rombak Kabinet tidak selesai masalah

MUHAMMAD ANWAR FAHMI HARI DAS ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Penstrukturan semula Kabinet pada masa ini dilihat amat tidak signifikan untuk tempoh jangka panjang, apatah lagi mahu membentuk kerajaan ‘Melayu Islam’ antara tiga parti terbesar iaitu UMNO, Bersatu dan Pas.

Penganalisis politik, Muhammad Anwar Fahmi Hari Das Abdullah berkata, pemberian jawatan atau kedudukan kepada pemimpin UMNO untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri misalnya atau jemaah menteri hanya akan berhasil bagi jangka pendek selagi Parlimen tidak dibubarkan.

Menurut beliau, Malaysia memerlukan sebuah kerajaan yang kuat seperti Barisan Nasional (BN) dahulu dalam pentadbiran dan pembangunan negara dan bukannya kerajaan bumiputera atau bukan bumiputera.

“Setuju atau tidak saya melihat Covid-19 adalah penyelamat untuk tidak diadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan seluruh pemimpin serta rakyat termasuk jentera kerajaan sedang fokus menangani pandemik itu di samping memastikan ekonomi negara dapat dipulihkan.

“Metod kerajaan bumiputera tidak sesuai dipalukan di Malaysia kerana sejak lebih 60 tahun yang lalu BN mentadbir urus Malaysia antara UMNO, MIC dan MCA serta sokongan daripada parti-parti dari Sabah dan Sarawak,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengulas saranan agar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merombak Kabinet ekoran kepincangan-kepincangan yang berlaku dalam kerajaan ketika ini.

Tambah Muhammad Anwar Fahmi, isu rombakan Kabinet Perikatan Nasional (PN) juga tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah jika segelintir pemimpin hanya mahukan dakwaan terhadap mereka ‘disucikan’ melalui jangka hayat politik dengan memegang jawatan dalam kerajaan.

“Amat pelik jika UMNO boleh reda Muhyiddin menjadi Perdana Menteri selama-lamanya, mereka pasti mahu kembali segera mengemudi negara, sebab itulah masing-masing berbicara isu bumiputera dan Covid-19 kerana mereka perlu alasan kukuh untuk pastikan kedudukan terjamin walaupun dalam PRU-15 belum tentu PN akan kekal lagi.

“Tetapi memang kita perlukan aura dan keutuhan pentadbiran seperti BN dahulu, namun bukan amalan rasuah dan salah guna kuasa yang dihadapinya, jika acuan kerajaan BN mahu dikembalikan pastikan wakil yang berintegriti, jangan lagi pilih mereka yang korup atau hanya mahu membina legasi, katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN