PN tidak lemah, cuma perlukan masa - Utusan Malaysia

PN tidak lemah, cuma perlukan masa

KAMARUL AZMAN KHAMIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Kepemimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) bukannya lemah sebaliknya memerlukan masa memperkemaskan pentadbiran khususnya ketika berdepan cabaran global seperti pandemik Covid-19.

Justeru, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Azman Khamis berkata, gandingan pemimpin berpengalaman dan baharu amat diperlukan bagi membantu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam berdepan cabaran semasa dari segi kesihatan dan ekonomi ketika ini.

Katanya, ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN) dahulu, Perdana Menteri ketika itu tidak perlu ‘pening kepala’ kerana dibantu oleh barisan menteri yang berpengalaman sekali gus memudahkan tugasnya mentadbir negara dengan baik.

“Tidak adil dakwaan kerajaan PN lemah memandangkan sesetengah pemimpin masih baharu dalam pentadbiran dan memerlukan masa untuk menyesuaikan diri. Lagipun kita berdepan cabaran global dengan seluruh dunia menghadapinya.

“Jadi rombakan Kabinet wajar dilakukan bagi menggabungkan pemimpin berpengalaman dan baharu melibatkan parti-parti daripada kerajaan ini. Gabungan pemimpin berpengalaman dan baharu akan memantapkan pentadbiran sedia ada,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Baru-baru ini, tokoh veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad melabelkan kepemimpinan Muhyiddin menerajui kerajaan sebagai ‘paling lemah’ dalam sejarah negara menyorot kepada kekhilafan beliau menasihati Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mengisytiharkan darurat bagi menangani wabak Covid-19.

Mengulas lanjut, Kamarul Azman berkata, Perdana Menteri perlu melihat semula kesesuaian melakukan rombakan Kabinet dalam tempoh terdekat dengan mempertimbangkan cadangan mengabungkan tokoh berpengalaman dan baharu ini.

“Pembahagian dalam membentuk barisan Kabinet itu perlu secara adil dan sama rata membabitkan pemimpin daripada UMNO, Bersatu dan Pas. Dalam parti-parti ini ada dalam kalangan mereka yang cukup berpengalaman dalam pentadbiran sebelum ini.

“Orang baharu perlukan masa dan apabila yang baharu ini digandingkan dengan yang berpengalaman, saya percaya kerajaan PN akan bertambah mantap khususnya dari segi pentadbiran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya