PKPB: Polis Perak laksana 51 sekatan jalan raya - Utusan Malaysia

PKPB: Polis Perak laksana 51 sekatan jalan raya

Orang ramai diminta berhenti sebar berita palsu mengenai Kelantan bakal dikenakan PKPB mulai esok.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sebanyak 51 sekatan jalan raya (SJR) dilaksanakan di seluruh Perak berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Goh Boon Keng berkata, SJR yang dijalankan meliputi 28 sekatan di sempadan daerah dan 23 lagi sekatan di sempadan negeri.

Katanya, sebanyak 450 pasukan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) juga telah digerakkan di seluruh negeri.

“Bagi kedua-dua penugasan ini, ia melibatkan penglibatan seramai 1,800 pegawai dan anggota polis di Kontinjen Perak merangkumi tugasan setiap hari.

“Selain itu, kita juga mengambil inisiatif untuk melakukan hebahan berkaitan pematuhan SOP melalui pasukan kereta peronda polis yang menjalankan rondaan di kawasan penugasan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Boon Keng, seramai 5,700 pegawai polis di negeri ini boleh diatur gerak bagi melaksanakan tugas-tugas pemantauan pematuhan PKPB yang berakhir 6 Disember ini. 

“Semua pihak dinasihatkan agar mematuhi setiap SOP dan peraturan yang ditetapkan. Kerjasama dan kawalan kendiri daripada masyarakat amat penting bagi memerangi pandemik Covid-19,” katanya.

Kelmarin, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan, semua negeri kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan dikenakan PKPB selama sebulan bermula hari ini hingga 6 Disember depan. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN