Peti sejuk antara sampah dibuang dalam sungai - Utusan Malaysia

Peti sejuk antara sampah dibuang dalam sungai

Rumaizi Baharin semasa mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis Bulanan November 2020 MBI di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Banjir kilat yang berlaku di kawasan sekitar Sungai Pari dan Manjoi di sini berikutan hujan lebat baru-baru ini antaranya berpunca daripada tindakan segelintir penduduk yang tidak bertanggungjawab membuang sampah sehingga menyebabkan sistem perparitan terhalang.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, banjir kilat akan menjadi masalah yang berterusan selagi langkah pencegahan tidak diambil termasuk melakukan pembuangan sampah dengan cara yang betul.

Menurut beliau, operasi pembersihan sampah yang dilakukan oleh petugas Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bagi membantu pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) misalnya turut menemui peti sejuk yang dibuang di dasar Sungai Pari.

“Apabila banyak sangat sampah-sampah berada di dalam dasar sungai ia menyebabkan sungai itu tidak mampu menampung kuantiti air seperti mana sepatutnya.

“Keadaan ini menyebabkan air melimpah. Begitu juga di beberapa kawasan yang disebabkan sampah-sarah di dalam parit disebabkan sikap ringan tangan mereka yang tidak ambil berat dalam soal kebersihan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis Bulanan November 2020 MBI di sini hari ini.

Menurutnya, ketika ini kajian lanjut sedang dilakukan MBI bersama syarikat perunding untuk melengkapkan data-data berhubung kawasan yang terjejas sebelum langkah seterusnya diambil.

Beliau berkata, bagi penyelesaian jangka pendek MBI dalam proses melantik juru perunding bertauliah bagi melaksanakan kajian tebatan banjir di Kawasan Industri Bercham, Kampung Sungai Rokam dan RPT Sri Klebang dan Desa Sri Chepor dengan anggaran keluasan 10.2 kilometer persegi. 

“Kita juga telah mengenal pasti lokasi-lokasi yang sering dan berpotensi mengalami banjir kilat. MBI merangka untuk menaiktaraf dan menjalankan penambahbaikan kepada sistem perparitan sedia ada. 

“Pelaksanaan kerja-kerja tersebut dijangka akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat bermula awal tahun depan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya