PEKAN: Kerajaan perlu menimbang semula peruntukan disediakan bagi sektor pelancongan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan di Dewan Rakyat kelmarin.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, jumlah RM50 juta bagi kerja naik taraf dan penyelenggaraan kemudahan pelancongan tidak realistik dan tidak mencukupi untuk dikongsi dengan 14 negeri.
“Saya fikir jumlah RM50 juta bagi kerja selenggara dan naik taraf kemudahan tempat pelancongan di seluruh negara adalah sangat tidak mencukupi… bayangkan jumlah itu perlu dikongsi bersama 14 negeri di seluruh negara, memang tidak cukup.
“Kita harap kerajaan boleh semak semula jumlah berkenaan… kita tak boleh nafikan sumbangan besar sektor pelancongan kepada pendapatan negara. Banyak pemain industri (pelancongan) yang terjejas teruk sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, kena ambil kira perkara ini juga,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Hari Alam Sekitar Negara Peringkat Pahang di Pusat Penyelidikan Tasik Chini di sini hari ini.
Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) turut meluahkan kekecewaan kerana Belanjawan 2021 gagal menyediakan program bantuan yang kukuh untuk melindungi pekerjaan dan perniagaan dalam sektor itu.
Mohd. Sharkar berkata, walaupun secara umumnya apa dibentangkan dalam Belanjawan 2021 adalah sangat positif, namun sektor pelancongan tidak menerima perhatian sebaiknya daripada kerajaan.
“Bayangkan nasib pekerja yang mengharapkan pendapatan harian seperti pemandu pelancong, apa nasib mereka… begitu juga pemandu bas dan lain-lain perkhidmatan yang (pendapatan) hanya bergantung kepada jumlah pelancong menggunakan perkhidmatan mereka,” katanya. -UTUSAN ONLINE