JOHOR BAHRU : Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim mencadangkan peruntukan sebanyak RM71 bilion bagi tujuan pembangunan yang dibentangkan dalam Belanjawan 2021 perlu dipinda dengan mengurangkan jumlah itu.
Hassan berkata, peruntukan pembangunan bagi tahun depan seharusnya kekal seperti peruntukan pada tahun ini iaitu sejumlah RM50 bilion manakala baki RM21 bilion itu boleh digunakan bagi tujuan lain.
Beliau mencadangkan RM21 bilion itu boleh digunakan bagi perkara berkaitan pandemik Covid-19 serta membantu rakyat yang terkesan akibat penularan wabak berkenaan sehingga hilang kerja dan pendapatan.
“Belanjawan 2021 yang diluluskan kelmarin masih boleh dipinda kerana baru di peringkat dasar. Dalam Belanjawan 2021, sejumlah RM71 bilion diperuntukan bagi pembangunan, RM2 bilion daripadanya digunakan untuk kecemasan.
“Baki RM69 bilion ini, kita peruntukan RM50 bilion untuk pembangunan manakala selebihnya RM19 bilion kita campurkan dengan peruntukan RM17 bilion untuk Kumpulan Wang Covid-19, jadi jumlahnya RM36 bilion.
“Daripada jumlah itu, RM3 bilion digunakan untuk membeli vaksin, RM3 bilion pula bagi rakyat lakukan swab test, RM10 bilion untuk petugas barisan hadapan dan RM20 bilion bagi bantu rakyat,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat kawasan banjir di Kampung Sungai Rinting D di sini hari ini.
Hassan berkata, bagi cadangan membantu rakyat, kerajaan boleh menggunakan peruntukan RM20 bilion itu disalurkan kepada mereka yang hilang pekerjaan dengan memberikan RM1,000 sebulan untuk satu tempoh atau sehingga dapat pekerjaan baharu.
Dengan cara itu, jelasnya, rakyat tidak perlu berharap kepada duit simpanan dalam Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang seharusnya disimpan untuk hari tua kelak.
“Ini barulah yang dikatakan kerajaan membantu rakyat, bukannya rakyat menggunakan hasil simpanan sendiri ketika berdepan situasi sukar. Memang ada tuntutan pengeluaran wang daripada Akaun 1 KWSP itu tetapi ia bukanlah satu penyelesaian yang baik kerana ia akan memberi kesan jangka panjang seperti susut simpanan pada masa akan datang.
“Itu kerana rakyat guna duit mereka sendiri dan bukannya duit kerajaan bagi membantu rakyat. Jadi, pindaan peruntukan dalam belanjawan nasional itu adalah wajar dalam keadaan rakyat sedang susah berdepan pandemik berkenaan,” katanya.
Menurut Hassan, belanjawan tersebut yang sudah dibahas dan diluluskan akan masuk pada peringkat jawatankuasa dengan setiap kementerian akan membincangkannya secara terperinci.
Belanjawan 2021 dibentang Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 6 November lalu dan seramai 82 Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan yang berlangsung sejak 9 November lalu.
Isnin ini, belanjawan berkenaan akan dibahas di peringkat jawatankuasa selama 10 hari sebelum undi belah bahagian sekali lagi diadakan.- UTUSAN ONLINE