KUALA LUMPUR: Walaupun jumlah peniaga dijangka bertambah berikutan kewujudan zon bebas niaga di sekitar Wilayah Persekutuan, para peniaga lama tidak menganggap ia satu masalah kepada mereka.
Apa yang membimbangkan mereka adalah kekurangan pelanggan dan pendapatan sehingga memberi bebanan untuk membayar gaji pekerja.
Tinjauan Utusan Malaysia ke Bazar Jalan Melayu, di sini semalam mendapati, para peniaga yang sudah lama menapak di situ menyambut usaha mewujudkan zon bebas niaga tersebut.
Peniaga tudung, Liyana Abd. Nasir, 31, berkata, ia adalah langkah yang baik untuk memberi peluang kepada mereka yang kehilangan kerja meskipun ia mengundang sedikit persaingan.
Katanya, apa yang menjadi masalah adalah kekurangan pelanggan yang menyukarkan para peniaga memperoleh keuntungan harian.
“Kadangkala ada yang langsung tidak terjual dan hanya memperoleh keuntungan kurang RM100 sehari tetapi gaji pekerja perlu dibayar.
“Gaji pekerja dibayar mengikut keuntungan yang diperoleh sehari. Jika dulu mampu bayar RM50 ke RM60 sehari tetapi sekarang saya hanya mampu membayar sebanyak RM25 ke RM30. Syukur pekerja saya masih faham,” katanya yang sudah lapan tahun berniaga di kawasan itu.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini memberi kebenaran kepada warga kota membuka gerai atau perniagaan secara kecil-kecilan di kawasan yang sesuai di sekitar bandar raya mulai semalam.
Sementara itu, Muhammad Yani Syamsuwirman 30, antara peniaga minuman di situ berkata, dia tiada masalah dengan persaingan peniaga yang semakin ramai.
“Saya faham dengan keadaan sekarang banyak yang terkesan dan hilang kerja, jadi tidak salah jika kita saling menyokong antara satu sama lain.
“Saya percaya rezeki setiap orang tidak sama dan saya tetap berusaha semampunya untuk mencari rezeki,” katanya.
Peniaga gerai makanan di Jalan Tun Tan Cheng Lock, Abdul Zainuddin, 49, pula berkata, keadaan semasa dalam negara menjadikan perniagaannya kini menjadi agak sulit.
“Pemberian lesen sementara tidak menjadi masalah pada kami tetapi apa yang mengganggu adalah kekurangan pelanggan. Sekarang nak jual 30 biji burger pun tak dapat sebab kurang pembeli,” katanya. – UTUSAN










