Pelik, luar jangka jika UMNO tolak Belanjawan 2021 - Utusan Malaysia

Pelik, luar jangka jika UMNO tolak Belanjawan 2021

P. SIVAMURUGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Adalah sesuatu yang pelik atau di luar jangkaan sekiranya terdapat Ahli Parlimen UMNO menolak Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat esok.

Ini kerana, menurut pakar sosiologi dan politik, Prof. Dr. P. Sivamurugan berkata, Ahli Parlimen UMNO itu berada di blok kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan sebahagian mereka juga dilantik sebagai Menteri dan Timbalan Menteri.

Jelas pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) berkenaan, sekiranya mahu memainkan peranan semak dan imbang dalam kerajaan sekali pun, perkara itu tidak seharusnya dibuat secara terbuka di Dewan Rakyat apatah lagi menjadikan Belanjawan 2021 sebagai taruhan.

Sebaliknya, tambah beliau, sebarang tuntutan daripada ahli parlimen UMNO itu perlu disalurkan menerusi mekanisme lain atau perbincangan tertutup.

“Jika ahli parlimen pembangkang yang menolak Belanjawan 2021, itu sudah sering berlaku dan boleh dijangka.

“Tetapi jika ahli parlimen UMNO menolak, sedangkan mereka ialah ahli kerajaan, maka itu dianggap luar jangka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Mengulas lanjut, Sivamurugan berkata, secara asasnya apa yang dituntut pemimpin UMNO dalam Belanjawan 2021 boleh dianggap sebagai usul dalaman kerajaan.

Sehubungan itu, jelasnya, pindaan ke atas Belanjawan 2021 tersebut boleh dibuat atas dasar menunjukkan kerajaan PN hari ini bersifat inklusif.

Apatah lagi, ujar beliau, isu yang dibawa Ahli Parlimen UMNO itu adalah sangat dekat dengan rakyat dan dalam masa sama mahu melihat kerajaan PN mengutamakan agenda rakyat.

“Sehubungan itu, kedua-dua pihak sama ada UMNO atau Bersatu perlu ada diplomasi kerana permintaan atau bantahan itu datangnya dari dalam kerajaan sendiri, bukannya daripada musuh politik.

“Ini juga penting supaya isu ini tidak dilihat atau memberi mesej seperti tekanan politik kepada kerajaan PN sedangkan hasrat UMNO adalah untuk mengetengahkan agenda serta suara rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×